Buletin

RESTOMOD HYUNDAI GRANDEUR 1986, BANGKITKAN AURA 80-AN!

Hyundai sekarang ini semakin disegani hasil daripada produk-produk yang menarik dan berteknologi tinggi. Hyundai juga hebat dalam sukan permotoran seperti Kejuaraan Rali Dunia (WRC).

Dengan usia yang panjang, Hyundai mempunyai khazanah istimewa seperti pengeluar lain dan pada 12 November lalu telah mendedahkan Grandeur tahun 1986 bertemakan ubah suai restomod.

Grandeur adalah model andalan (flagship) dan Hyundai mengubahsuainya bagi menyambut ulang tahun ke-35 model itu.

Projek Heritage Series Grandeur juga dibuat bagi mengetengahkan kepentingannya dan mencari inspirasi baharu untuk reka bentuk masa depan.

Projek seperti ini bukan baharu, Hyundai melalui siri Heritage Series pernah mengeluarkan Pony tahun 1975 pada April 2021.

Seperkara menarik ialah Grandeur ini mempunyai kaitan dengan Mitsubishi Debonair dan pada masa itu kedua-dua syarikat mempunyai kerjasama dengan Mitsubishi membekalkan enjin kepada Hyundai.

Apa yang Hyundai buat pada Grandeur ini? Ianya dikuasakan nadi elektrik! Cuma Hyundai tidak mendedahkan butirannya secara terperinci.

Pada bahagian luar, Grandeur menggunakan lampu yang dipanggil Parametric Pixel dan berjaya membangkitkan aura moden dan klasik.

Turut diganti baharu ialah cermin sisi, roda dengan penutup, side cladding dengan kombinasi warna hitam dan perak. 

Penampilan Grandeur terbaru ini terasa seperti kembali ke era 80-an. 

Pada bahagian dalam, pereka Hyundai menggunakan tema Newtro atau newness + retro dengan pencahayaan berwarna gangsa dan sistem audio moden.

Kerusi depan dibaluti velvet warna burgundy yang dinspirasi dari Grandeur asal. Menariknya bahagian belakang kerusi itu dibalut dengan kulit Napa dan bertali.

Konsol perehat lengan pula mempunyai laci tersorok bagi menyimpang barang berharga seperti jam tangan.

Lagi adunan moden dan klasik diserlahkan melalui penggunaan paparan skrin rata dengan stereng single spoke dan pemilih gear ala pesawat.

Sistem audio pula dari pereka Korea Selatan iaitu Guk-il Yu dengan lapan belas pembesar suara. Sistem audio itu membawakan bunyian jelas (clarity), kaya (rich) dan bass mendalam.

Sistem audio dan lokasi komponennya direka dan dibuat mengikut teori dewan akustik.

Hyundai Heritage Series Grandeur dipamerkan di Hyundai Motorstudio Goyang pada 14 November dan Seoul Motorstudio dari 16 hingga 21 November.

Selain tampil menarik, Grandeur ini juga adalah lambang atau simbol berapa jauh Hyundai telah maju ke hadapan.

Hyundai bukan lagi syarikat biasa-biasa!

BACA: SEGALANYA TENTANG HYUNDAI KONA EV. BAKAL DILANCARKAN Q4 2021?

BACA: HYUNDAI PONY: ‘PROTON SAGA’ KOREA KEMBALI DENGAN GAYA MODEN

BACA: HYUNDAI IONIQ 5: RM214K UNTUK VARIAN TERENDAH

Google ads
Back to top button