Artikel PilihanMotosikal

ROSSI PUN BOLEH MENANG KALAU PAKAI DUCATI NI – LORENZO

Pelumba Ducati Jorge Lorenzo menafikan yang beliau dan Valentino Rossi bersahabat walaupun kelihatan saling mengucapkan tahniah pada MotoGP Catalunya hujung minggu baru-baru ini. Beliau merujuk kepada beberapa isu yang timbul antara beliau dan Rossi sebelum ini.

Dalam keadaan gembira selepas memenangi MotoGP Catalunya Lorenzo menyambung yang Rossi turut mampu meraih kemenangan jika menuggang jentera Ducati yang digunakan beliau. Ini merupakan kemenangan kali kedua berturut-turut buat Lorenzo dan Ducati.

Untuk rekod Rossi tidak pernah berjaya meraih kedudukan pertama sewaktu bersama dengan Ducati tetapi Lorenzo menyatakan yang juara berusia 39 tahun itu mungkin mampu melakukannya jika menggunakan jentera Desmosedici 2018.

Lorenzo turut menyatakan yang beliau dapat merasa jentera Ducati yang pernah digunakan oleh Rossi adalah lebih rumit dan kini menurut beliau jentera Ducati 2018 adalah dalam keadaan terbaik. Ditambah pula dengan kehebatan Rossi sendiri tidak mustahil untuk beliau mencapai kemenangan dengan menggunakan Desmosidici terbaru ini.

Lorenzo bagaimanapun menafikan yang beliau dan Rossi berkawan rapat selepas tidak lagi menjadi rakan sepasukan. Walaupun keinginan tersebut ada, adalah agak sukar untuk dua pelumba yang saling bersaing dengan sengit di dalam perlumbaan untuk menjadi kawan rapat.

BACA: MOTOGP MUGELLO – KEMENANGAN PERTAMA LORENZO/DUCATI YANG AGAK LEWAT

Apa yang penting buat Lorenzo ialah beliau menghormati Rossi dan percaya Rossi juga mempunyai penghormatan yang sama terhadap beliau.

Rossi sendiri bila ditanya soalan yang sama ada beliau mampu menang jika menggunakan Ducati terbaru tidak mampu memberikan jawapan. Segala kemungkinan bakal terjadi dan tiada siapa pun mampu meramalkannya jelas Rossi.

Mengulas hubungan beliau dengan Lorenzo pula Rossi menyatakan mereka mempunyai masa-masa sukar dan juga sebaliknya. Ia tidak dapat dielakkan kerana mereka mengejar matlamat yang sama iaitu untuk merebut kejuaraan dunia malah Lorenzo sendiri merupakan salah seorang pesaing terkuat Rossi.

Mereka pernah bersama untuk jangka masa yang panjang dalam satu pasukan dan ia tambah menyulitkan keadaan tapi ia sememangnya normal untuk pelumba MotoGP. Apa yang penting ialah saling menghormati antara satu sama lain.

Google ads
Back to top button