Buletin

FORD HENTIKAN PRODUKSI S-MAX DAN GALAXY. TIADA MODEL GANTIAN SETAKAT INI

Dalam memenuhi permintaan dan citarasa pelanggan yang berubah ke arah rangkaian kenderaan elektrik sepenuhnya, Ford mengumumkan akan melalui transformasi terbesar dalam sejarah syarikat.

Pembuat kereta itu mengesahkan MPV S-Max dan Galaxy akan dihentikan pengeluaran pada musim bunga tahun depan, tanpa penggantian dalam perancangan.

Ford Galaxy telah dilancarkan di Eropah pada tahun 1996 sebagai sebahagian usaha sama di antara Ford dan Volkswagen. Ia turut dijual sebagai Volkswagen Sharan dan SEAT Alhambra sebelum generasi kedua diperkenalkan pada tahun 2006 menggunakan platform baharu, berkongsi dengan Mondeo. Sejak muncul di pasaran, lebih 820,000 unit Galaxy telah terjual di seluruh benua Eropah.

Galaxy generasi kedua dijual bersama S-Max sejak 2006, menyaksikan ia telah terjual kira-kira 570,000 unit. Namun, pada tahun 2021, jualan jatuh mendadak dan hanya 4,700 Galaxy, manakala 7,400 unit S-Max berjaya dijual di Eropah.

Ford berkata pesanan untuk dua model itu telah ditutup. Ini bermakna pelanggan tidak boleh lagi membuat pesanan untuk S-Max atau Galaxy. Hanya pesanan pelanggan sedia ada akan dihasilkan di kilang Ford di Valencia, Sepanyol, sebelum kedua-dua model itu dihentikan.

Pada tahun 2021, S-Max dan Galaxy mendapat rangkaian kuasa hibrid baharu yang dijana oleh enjin petrol 2.5 liter kitaran Atkinson, disokong oleh motor elektrik kecil, bateri lithium-ion 1.1kWh serta CVT. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 190hp (142 kilowatt).

GALERI:

Google ads
Back to top button