SAKSIKAN KEHEBATAN AKSI SENNA DAN MCLAREN-HONDA MP4 DI NETFLIX – NOSTALGIK BRO
Netflix baharu sahaja melancarkan trailer miniseries terbaru mereka bertajuk Senna. Sudah tentu ia didedikasikan kepada pelumba Formula 1 sensasi, Ayrton Senna. Senna dianggap sebagai antara pelumba F1 paling berpengaruh dengan tiga kejuaraan dunia dengan memandu jentera McLaren-Honda. Ia merupakan dominasi paling diingati dalam sejarah perlumbaan tersebut.
Dilihat pada trailer pun kami cukup yakin yang miniseries ini memang sangat berbaloi untuk ditonton. Tambahan pula ia turut diselang-selikan dengan petikan-petikan video sejarah hidup Senna sendiri.
Miniseries ini menampilkan Gabriel Leone yang melakonkan watak Senna. Sebagai pembuka tirai, ia menunjukkan aksi Senna di perlumbaan GP Brazil 1991. Sebaik bermula beliau terus memecut jentera McLaren-Honda MP4 mengelilingi litar Interlagos dengan iringan foto-foto sepanjang kehidupan pelumba lagenda tersebut.
Senna memenangi perlumbaan tersebut buat pertama kali setelah lapan tahun bergelar pelumba F1. Lebih manis bila beliau menaiki podium di kampung halaman sendiri. Macam abang Japar rali of Mentakab la.
Walaupun ramai antara kita dah pernah saksikan kisah mengenai Senna ni, siri ini masih kelihatan menarik kerana ia merangkumi kisah hidup beliau semasa kanak-kanak, percintaan, konflik hidup dan macam-macam lagilah. Kira dah macam drama jugalah dan bukannya aksi perlumbaan semata-mata.
‘Senna’ bakal ditayangkan sepanjang enam episod dan ianya tiada kena mengena dengan filem bertajuk Senna yang dikeluarkan pada tahun 2010. Netflix belum menyatakan bila siri ini akan disiarkan tapi kemungkinan besar ia akan disiarkan sempena ulang tahun kematian Senna di GP San Marino pada tahun 1994.
Jangan nak terpaling F1 kalau tak kenal dengan Ayrton Senna. Jangan ingat Brazil cuma mampu hasilkan pemain bola bertaraf antarabangsa sahaja. Pelumba F1 mereka pun tak kurang hebatnya.