SAUDARA BARU Z800: KAWASAKI Z900 DAN Z650
Lagi berita dari Pameran Motor Intermot, Jerman. Semalam kami menyiarkan Vespa GTS dengan teknologi start/stop dan Ducati Supersport tahun 2017, ini pula berita gembira buat peminat Kawasaki di Malaysia. Kawasaki Eropah baru sahaja mengumumkan kelahiran saudara baru Z900 dan Z650.
Tidak dinafikan, Kawasaki Z800 telah memberi peluang kepada ramai penunggang memiliki motosikal berkuasa tinggi 4 selinder jenama Jepun di Malaysia. Justeru, pengaruhnya sangat besar dan tak pelik bila motosikal laris jualannya setiap tahun.
Sejak ditingkattaraf dari model Z750, Kawasaki percaya bahawa model yang mereka gelar supernaked itu mempunyai masa hadapan yang cerah. Mereka sedaya upaya menjadikannya bervariasi dan terbaru, memperkenalkan varian tambahan Z650 dan Z900.
Z650
Z650 direka untuk penunggang yang ingin meningkattaraf motor mereka tetapi belum bersedia dengan mesin lebih 100hp. Dibekalkan dengan enjin 2 selinder dengan kerangka trellis baru, mungkin ia opsyen buat penunggang yang ingin menaiktaraf model ER6.
Enjin 649cc DOHC 8 injap dengan sistem suntikan bahanapi ini dipasangkan kemas pada kerangka ringan, dibawah tangki tirus. Rekaan keseluruhan Z650 ini adalah berdasarkan motosikal naked yang sporty dan senang ditunggang, khususnya oleh penunggang amatur.
Berat bersih keseluruhan motosikal ini ialah 187kg. Ia banyak disumbangkan oleh rekaan kerangka baru yang hanya seberat 15kg lantas menjadikannya mudah ditunggang. Berbanding Z800 dan Z900, bar hendal Z650 lebih lebar dan kedudukan tunggangan menegak. Pelananya berada pada kedudukan 790mm dan posisi pemijak baru memberi posisi tunggangan lebih santai.
Senjata baru yang akan melengkapkan keupayaan barisan supernaked Kawasaki. Ia disasarkan kepada penunggang berpengalaman namun tak mengabaikan penunggang amatur. Ye lah, kau nak pro sangat boleh beli H2 atau H2R.
Seperti Z1000, enjin 4 selinder Z900 ini meminjam kebuk dari model 1000cc abang sulungnya. Bagaimanapun ia dikecilkan kepada 948cc dengan fokus kepada pengendalian sebagai keutamaan.
Sepertimana model-model enjin 4 selinder sebaris lagenda seperti Z1000, Ninja 1000, GPZ900Z dan Ninja ZX-9R, Z900 menampilkan keseimbangan dari segi kuasa dan pengendalian. Ya. Kawasaki menekankan tentang pengendalian, pengendalian dan pengendalian.
Kedudukan pelananya ialah 794mm, berat keseluruhan motosikal pula ialah 210kg dan bentuk agresif Z900 ini bergantung pada insipirasi Sugomi yang asal.
Kalau masuk ke pasaran tempatan, Kami percaya, kedua-dua model Z650 dan Z900 akan terus dapat sambutan asalkan posisi harganya sesuai.
Kawasaki Malaysia jual murah-murahlah, motor sekarang pun dah laku sangat ni.