Modifikasi

SEBELUM KEDATANGAN LANCER EVO, INI ADALAH LAGENDA RALI SEBENAR- MITSUBISHI GALANT VR4

Meneruskan niat mereka dalam sukan rali, Mitsubishi telah mempertaruhkan model Galant VR4 sebagai senjata terbarunya pada tahun 1988. Ia dihomologasikan untuk beraksi dalam Rali Group A, selepas pihak WRC menamatkan persaingan Group B akibat faktor keselamatan. Banyak jugak pasukan yang menggunakan khidmatnya, sebelum diambil alih oleh siri Lancer Evolution selepas itu.

Salah satu pasukan yang mempertaruhkan Galant VR4 sebagai jentera rali mereka adalah Yokohama Advan Sports Team yang berpengkalan di UK. Dipandu pasangan Shinya Yamaguchi dan Masao Taguchi, kelibat mereka ketika menyertai Lombard RAC Rallye pada tahun 1991 cukup menarik perhatian. Malah ia telah diadaptasikan dalam bentuk diecast dan masih lagi dijual sehingga kini.

BACA: GALANT SUPER SALOON VR4

Momokan konsep belang-belang pada kereta #38 ini akhirnya menjadi popular dan memberi ilham kepada pemilik Galant VR4 untuk menjelmakan kereta mereka seperti jentera lagenda ini. Salah seorang darinya ialah Shidee yang memang minat benar dengan Galant VR4.

Mungkin kerana DNA rali yang ada padanya, memberi pengalaman berbeza berbanding kereta-kereta lain. Hanya mereka yang pernah pakai saja tahu rasanya…

Kereta ini lahir ketika Julia Rais tengah meletop dengan filem Suci Dalam Debu. Lebih tepat lagi pada tahun 1992.

Untuk luaran, ia mengenakan set lengkap kit badan Galant VR4 RS, serta penggunaan beberapa komponen lain seperti grill dan lampu belakang VR4 USDM, spoiler AMG dan cermin sisi RalliArt. Kerja-kerja kustom melibatkan kacukan hood EVO, tambahan lip depan Integra DC2, eyelid CF serta tebukan lubang-lubang kelajuan pada bumper belakangnya.

Mengimbangi ketinggian kereta pada kedudukan yang sesuai, sistem gantungan menerima set suspensi boleh laras HKS. Ruang roda pulak diisi rim putih AVS 17-inci serta tayar Achilles ATR Sport dari saiz berbeza untuk depan dan belakang. Tayar Advan Neova abis stok der…

Inspirasi ini hanya melibatkan bahagian luaran. Kalau dibuat sampai ke dalam, tinggal lantai besi lah jawabnya.

Di ruang ini, hampir semua komponen asal masih dikekalkan kecuali penempatan beberapa komponen tambahan seperti tempat duduk bucket Bride LowMax, tempat duduk Recaro penumpang sebelah, stereng Momo, tombol gear RalliArt dan burger tray khas untuk dashboard VR4.

Komponen paparan dan elektronik mengandungi meter boost Apexi, meter AFR NRG, meter NV Sports Defi dan pemasa enjin Apexi.

Kalau luar saja hensem tapi enjin pondan pun tak kena jugak. Jadi Shidee telah menggantikan nadi asal dengan enjin yang selayaknya iaitu 4G63T dari varian tertinggi Galant VR4 E39A.

Pun sama, persembahan enjin ini nampaknya tak ceria macam luaran. Semuanya kelam lepas Shidee mengambil keputusan, menghitamkan rupanya secara keseluruhan.

Ruang blok hanya diisi set bearing enjin ACL Race dan dilapik sekeping gasket keluli Cometic untuk membetulkan semula kadar mampatan. Sementara bahagian kepala silinder menerima kerja-kerja port & polish ringan.

Memandangkan kedudukan sensor MAF enjin ni agak bersimpang siur, keseluruhan wiring enjin telah ditukar kepada harness EVO III, termasuk bahagian manifold kemasukan.

Sistem pendesak menerima turbo Garrett A/R.50 yang lebih besar. Ia disangkut manifold turbo T3 kustom bersama sebuah wastegate Turbosmart UltraGate 38 untuk mengawal tekanan di bahagian perumah ekzos.

Tekanan boost ini, seterusnya disejukkan oleh intercooler EVO VI lengkap bersama paip sambungan kustom. Sementara tekanan berlebihan dibawa keluar menerusi injap pelepas Sard.

Bekalan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, terus ke set injektor 700cc. Kadar tekanan yang diperlukan kemudiannya dikawal unit regulator Sard. Bagi menghasilkan prestasi yang setimpal, pemetaan sistem nyalaan kini ditala menggunakan unit Ecu-Shop Octane REV.

Diberitakan, Shidee sedang berkira-kira untuk mencarikan Galant VR4 ini tuan yang baru. Keluarga pun dah makin besar. Sudah tiba masanya untuk menyelam ke dunia MPV barangkali…

BACA: GALANT SUPERSALOON VR4

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button