Artikel PilihanModifikasi

SIRI 2: CADANGAN MODIFIKASI PROTON WIRA

Dari enjin 4G91 DOHC 1,500cc, 4G92 MIVEC 1,600cc ke GSR 4G93 turbo atau enjin 4G63 sama ada daripada Mitsubishi Galant VR4 atau Evo I, II atau III, semuanya boleh digunakan untuk apa jua casis Wira, termasuklah model diesel.

Baca Siri 1 di SINI.

Proton-Wira-modified-mekanika (9)

Di Jepun, Mitsubishi Lancer dikeluarkan secara besar-besaran dalam pelbagai variasi yang semuanya boleh disalin masuk ke casis Wira, Satria, Putra atau Arena.

Selain daripada enjin 4 silinder, pemilik Wira juga ada pilihan untuk menggunakan enjin V6 produksi penuh terkecil di dunia, iaitu enjin 6A10 bersesaran 1,600cc. Pilihan enjin hanya terhad kepada bajet dan pelepasan undang-undang.

Agak malang, kini Wira tidak lagi dibenarkan menggunakan enjin bersesaran 2,000cc oleh pihak berkuasa. Tetapi, kalau bernasib baik, anda boleh membeli Wira yang sudah didaftar dengan enjin 2,000cc sebelum undang-undang tersebut dikuat-kuasakan.

Proton-Wira-modified-mekanika (7)

Dari segi aksesori JDM, pilihannya sangat banyak. Bodykit Lancer, Mirage, Mirage Asti dan Evolution semuanya boleh disalin masuk ke casis Wira tanpa pengubahsuaian yang besar.

Proton-Wira-modified-mekanika (3)

Cermin belakang dengan penggilap, cermin suria, cermin sisi boleh lipat, skirting dan spoiler daripada model Lancer juga boleh disalin masuk dengan mudah.

Terkini, pakar-pakar modifikasi tempatan sudah berjaya mengintegrasikan bonet belakang Lancer, lengkap dengan lampu dan pemegang plet kepada cesi Wira dengan sedikit pengubahsuaian. Ada jugak geng berani mati yang berjaya menyalin bodykit daripada model Lancer CK kepada casis Wira!

Proton-Wira-modified-mekanika (4)

Untuk ruang kabin, apa jua tempat duduk OEM Lancer boleh disalin masuk. Tidak terkecuali papan pemuka yang lengkap dengan kawalan pendingin hawa digital, kulit pintu dengan tingkap kuasa, cermin jenis cromax dan karpet. Pendek kata, apa-apa sahaja aksesori dalaman boleh digunakan tanpa sebarang modifikasi yang besar.

Aksesori daripada Lancer CK (Lancer generasi kelima) juga boleh disalin masuk dengan sedikit pengubahsuaian seperti papan pemuka dan tempat duduk. Aksesori premium untuk dalaman Wira sudah tentulah aksesori OEM daripada model Evolution seperti tempat duduk Recaro dan stereng Momo. Selain aksesori RalliArt seperti pelapik pedal, perehat kaki dan pad lutut.

Alat prestasi tinggi untuk Wira pun memang banyak. Daripada aksesori kedai ABANG’S hinggalah aksesori JDM dari Jepun. Enjin asal Wira juga boleh diubah suai dengan pelbagai aksesori performance seperti sistem ekzos, camshaft, penapis udara dan macam-macam lagi.

Proton-Wira-modified-mekanika (2)

Sistem gantungan Wira boleh disalin dengan penyerap hentak OEM Lancer atau aksesori performance buatan tempatan seperti GAB, kayaba, APM dan Proride. Di samping penyerap hentak JDM premium seperti HKS, TEIN dan Cusco.

Dalam erti kata lain, aksesori untuk Wira akan terus berada di pasaran selagi kereta ini masih bergerak di atas jalan raya Malaysia.

Harga di Pasaran Terpakai

Proton Wira 1.3L, 1.5L, 1.6L dan 2.0L diesel boleh dibeli pada harga bawah RM5,000. Tetapi lazimnya kereta dalam lingkungan harga ini memerlukan banyak kerja restorasi. Jika sudah diubah suai, harga boleh meningkat naik sehingga belasan ribu Ringgit bergantung kepada kondisi.

Model yang mengekalkan harga agak tinggi ialah model istimewa seperti model Wira 1.8 C99 manual yang dilengkapi aksesori premium seperti tempat duduk Recaro dan stereng /knob gear Momo. Model seperti Satria GTi dan Putra juga dijual dengan harga yang agak tinggi. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kondisi.

Untuk model Wira C99, Satria GTi dan Putra, keaslian serta kondisi akan menentukan harga jualan. Jika ia dijual murah, maknanya banyak aksesori asal sudah rosak, hilang atau keadaan kereta adalah teruk.

Tahukah anda apa yang paling mengejutkan ialah Proton Arena mampu mengekalkan harga terpakai dengan cukup tinggi. Biasanya, Arena jarang dijual pada harga bawah RM20,000. Malah ia boleh dijual sehingga RM30,000 bergantung kepada kondisi dan spesifikasi.

Sehingga ke hari ini, Wira benar-benar berjaya di pasaran sebagai ‘Wira Negara’. Malah model pertamanya yang keluar pada 1993 pun masih lagi gagah meluncur di atas jalan raya. Baru-baru ini, perhimpunan Proton Satria berjaya mengumpulkan lebih 500 buah kereta di Dataran Merdeka. Ini jelas membuktikan bahawa ia akan kekal relevan dalam industri.

Tidak dinafikan, modifkasi adalah trend yang banyak mempopularkan variasi casis keluarga Wira. Saya sangat percaya kereta ini akan kekal popular untuk dekad mendatang. Sedar atau tidak, ia sebenarnya kereta berjiwa rakyat dan dibina untuk rakyat.

Petronas MREC – Desktop
Tags
Google ads
Back to top button