Modifikasi

TOYOTA VIOS CONVERT MANUAL

Toyota cukup bijak memasarkan kereta penumpang dengan harga yang berpatutan. Terutama bagi mereka yang tak mampu untuk membeli model Corolla, tetapi ingin memiliki sebuah kereta bukan jenama tempatan.

Toyota-Vios-manual-mekanika (9)

Vios sememangnya dilahirkan untuk pasaran negara membangun yang inginkan jenama Toyota dengan bajet agak terhad.

Walaupun jumlah Vios banyak di atas jalan raya, sebenarnya saya agak hairan kenapa tidak banyak kereta ini diubah suai. Kalau nak kata orang Malaysia kurang main Toyota, bersepah yang ubah suai model Corolla lama tu.

Toyota-Vios-manual-mekanika (2)

Vios yang kami jejak di Johor Bahru ini pun tidaklah diubah suai secara terlalu ekstrem. Namun, masih boleh dijadikan contoh modifikasi yang berpaksikan prestasi kepada pemilik-pemilik Vios di luar sana.

Pemiliknya, Nur Hanif nampak potensi kereta Vios generasi pertama untuk dijadikan kereta yang lebih seronok untuk dipandu. Kuasa bukanlah objektif utama, tetapi lebih kepada mendapatkan kereta yang seimbang dari segi prestasi dan pengendalian.

Toyota-Vios-manual-mekanika (13)

Enjin 1NZFE asal Vios yang bersesaran 1,500cc dengan sistem VVT-i dikekalkan. Pengubahsuaian lebih tertumpu pada peralatan prestasi jenis bolt-on. Enjin yang mampu menghasilkan 109hp ini dibebaskan sedikit lagi kuasanya dengan menggantikan kotak penapis udara asal dengan penapis udara jenis pod terbuka dari A’PEXi.

Enjin kemudiannya ditala dengan lebih teliti menggunakan ECU jenis piggyback  GReddy e-Manage (kotak biru).

Toyota-Vios-manual-mekanika (8)

Pembebasan kuasa yang optima dari enjin dibekalkan oleh set ekzos buatan custom yang melibatkan manifold ekzos dan paip tengah berdiameter 2 inci, saiz optimum untuk enjin bersesaran kecil yang inginkan pecutan lebih cepat. Di hujung sistem ekzos ialah sebuah peredam bunyi HKS Hi Power buatan Jepun yang asli.

Model Vios generasi pertama didatangkan hanya dengan kotak gear automatik empat  kelajuan. Vios J manual tu model 2nd gen baru ada, 1st gen takda. Kalau anda seorang peminat kereta sejati, kotak gear manual ialah satu-satunya kotak gear yang menjadi pilihan.

Toyota-Vios-manual-mekanika (12)

Jadi Hanif berusaha mencari kotak gear manual untuk Vios G ini. Akhirnya bertemu dengan kotak gear lengkap Toyota Vitz, sepupu model Vios di Jepun. Berkongsi enjin yang sama, kotak gear dengan nisbah akhir 4.3 ni dengan mudah dimasukkan ke casis Vios dengan pengubahsuaian minimum.

Selepas berpuas hati dengan pengubahsuaian enjin, dia beralih untuk memantapkan aspek pengendalian. Tak macam Proton yang mendapat sentuhan Lotus, Toyota cuma bagi sistem suspensi yang “biasa-biasa” sahaja.

Toyota-Vios-manual-mekanika (16)

Untuk memastikan Vios ini dapat dikendalikan dengan lebih agresif, semua penyerap hentak asal dia diganti dengan penyerap hentak boleh laras penuh IMP. Tak cukup dengan tu, Hanif memasang bar penstabil 4 titik dari Ultra Racing pada bahagian bonet depan.

Satu bar anti oleng (anti-roll) 19mm dari Ultra Racing dipasang pada suspensi belakang. Satu set stiff ring PULA digunakan bagi memastikan kereta tidak membuai akibat bush getah yang dah lembik.

Toyota-Vios-manual-mekanika (6)

Mengikut resmi geng Honda Civic klasik (EF, EG dan EK), Vios tak dibebankan dengan rim bling-bling yang besar ataupun rim dengan lebar dan offset yang mengarut. Hanif memilih rim Bran 949 Racing bersaiz 15×8 inci dengan offset +20 yang betul-betul terletak cantik mengisi ruang arca roda kereta.

Tayar-tayar Toyo Nano Energy 3 bersaiz 195/50/15 menjadi pilihan Hanif untuk membalut rim-rim aloi tadi.

Toyota-Vios-manual-mekanika (10)

Kuasa membrek kereta masih dipertanggungjawabkan kepada brek standard Vios G yang hadir dengan brek cakera.

Dari segi penampilan luaran, Hanif memilih untuk memasang diffuser yang diubah suai daripada model Lancer Evolution pada bahagian bampar hadapan dan skirting sisi. Bonet belakang pula dihias dengan spoiler asli TRD.

Toyota-Vios-manual-mekanika (11)

Kereta kemudian dicat dengan warna matte blue bagi memastikannya kelihatan berbeza berbanding ribuan Vios lain di atas jalan raya.

Tak ada apa yang unik kat dalam Vios ni. Bak kata orang Utara, nampak sempoi je. Bezanya cuma ia dah disumpah menjadi manual.

Toyota-Vios-manual-mekanika (4)

Ubah suai Vios yang menjurus kepada prestasi memang kurang, tetapi kereta ni membuktikan potensinya amat tinggi. Mungkin ini projek kereta yang sesuai untuk  menggantikan Proton Wira anda yang dah berusia lebih 20 tahun tuh…

Google ads
Back to top button