Modifikasi

SUBARU FORESTER SF5

Masa jadi pelajar satu masa dulu, saya ni jenis rajin masuk hutan. Bukan nak jadi Tarzan, tapi dulu suka panjat gunung. Malaysia sebenarnya amat bertuah kerana hutan hujan tropika di negara ini boleh dikatakan sebagai antara yang tercantik di dunia. 

Di Semenanjung Malaysia, terdapat tujuh buah gunung yang mempunyai ketinggian melebihi 7,000 kaki. Gunung Tahan, Korbu, Gayong, Chamah, Ulu Sepat, Yong Yap dan Yong Belar ialah gunung-gunung di Semenanjung yang menjadi puncak wajib didaki oleh geng-geng gunung. Itu belum dicampur gunung-gunung di Sabah dan Sarawak. Siapa tak kenal Gunung Kinabalu di Sabah? Kalau dah kenal, kena pula panjat Gunung Mulu di Sarawak.

Sesiapa yang terjebak dalam aktiviti sebegini memang susah nak tinggal, kecuali perut dah buncit dan lutut dah longgar. Tapi geng-geng ini sudah masuk aktiviti pacuan empat roda pula. Gunung diganti dengan denai. Sementara beg Karrimor diganti dengan Pajero.

DSC_6569

Terkeluar cerita gunung sebab Forester ini. Subaru Forester walaupun namanya ada kaitan dengan hutan, ia sebenarnya bukanlah kenderaan yang sesuai dipandu untuk meredah sungai dan lopak. Forester ialah kenderaan crossover, mungkin yang pertama seumpamanya di dunia.

Biarpun lebih mirip sebagai sebuah wagon berbanding SUV, Forester tetap saya minat. Sebabnya, jika dibandingkan dengan kenderaan crossover lain, ia mempunyai sistem pacuan empat roda yang cukup baik. Malah saya pernah lihat Forester diubah suai untuk kegunaan lasak dalam hutan. Sumpah korang tak boleh buat macam ni dengan Mitsubishi ASX atau Suzuki SX4!

Kelebihan utama Subaru Forester adalah kemampuannya untuk menjadi kereta berprestasi tinggi kalau dimahukan oleh tuannya. Sebenarnya di Malaysia, banyak Forester diubah suai ke arah ini.

DSC_6613

Kenapa? Senang saja. Enjin EJ20 yang digunakannya sama sahaja dengan enjin Impreza. Satu lagi fakta yang mungkin ramai tidak tahu ialah cesinya pun sama dengan Impreza. Kombinasi enjin dan cesi ini membuatkan Forester sebuah kereta crossover terbaik pada hemat saya.

Cuba tengok Forester ini. Cantik bukan? Sekali pandang, tak sangka bahawa kereta ini sudah berusia hampir 16 tahun. Okay la tu, sweet 16. Forester di pasaran Malaysia boleh dikatakan semuanya diimport melalui kedai kereta recond dan bukan dari Auto Dunia, pemegang francais Subaru pada ketika itu. Hampir semuanya juga menggunakan enjin EJ20 turbo dengan kotak gear automatik.

Tiada masalah. Sebagaimana yang saya katakan awal-awal tadi, cesinya sama dengan Impreza. Jadi kalau nak power lagi dan guna transmisi manual, tak payah susah-susah nak cari half-cut Forester Sti. Cari half-cut Impreza pun boleh.

BACA – IMPREZA STi 22B. RARE!

BACA – KERETA KELUARGA MURAH: FORESTER

BACA – SUBARU VERSION 9 – KING

Kereta ini misalnya dah layan enjin Impreza STi Version V yang masuk ke ruang enjinnya tanpa sebarang modifikasi. Enjin itu diubah suai sedikit dengan menggantikan penapis udara asal kepada penapis udara A’PEXi dan menambah satu injap blow-off jenama HKS SSQV. Sistem penyampaian petrol dibantu oleh penyelaras bahan api boleh laras SARD. Sementara hos-hos getah di dalam enjin diganti dengan hos-hos silikon buatan Samco.

Tidak lengkap kalau anda ubah suai enjin boxer Subaru, tetapi ekzos masih standard. Tak cukup sifat namanya. Forester ini menggunakan paip ekzos 3 inci buatan custom yang disalur terus kepada peredam bunyi A’PEXi N1. Bunyi enjin boxer daripada enjin single scroll ini memang terbaik. Boleh gugur jantung kalau duduk sebelah! Untuk membantu pelarasan campuran petrol dan udara, pemilik Forester ini menggunakan sebuah S-AFC daripada A’PEXi.

Kotak gear automatik yang datang bersama-sama Forester ini diganti dengan kotak gear manual lima kelajuan hadir bersama half-cut Impreza Version V. Kotak gear itu  tak diusik dan dikekalkan dalam keadaan standard. Melainkan klacnya dah diganti dengan klac Exedy Racing, satu naik taraf yang biasa orang buat kerana harga klac standard Subaru jauh lagi mahal daripada klac ni!

Pic 8

Oleh kerana kereta ini memang takkan dipandu dalam lumpur, jadi ada baiknya ia  direndahkan daripada ditinggikan macam Land Rover. Naik taraf sistem gantungan yang terbaik untuk Forester adalah dengan menggunakan penyerap hentak asal Impreza STi yang juga didatangkan sekali dengan half-cut.

Penyerap hentak berwarna merah jambu itu memang cukup sedap untuk kegunaan harian. Pada masa yang sama lebih rendah daripada menggunakan penyerap hentak asal. Selain itu, lower arm aluminium juga sudah disalin daripada half-cut ke Forester ini bagi memantapkan lagi pengendalian kereta.

Brek Forester pun dipertingkat. Sekali lagi dengan menggunakan barang daripada half-cut Impreza. Brek cakera depan diganti dengan brek cakera dan caliper jenis 2 pot daripada Impreza Version V. Brek belakang bagaimanapun dikekalkan standard Forester.

DSC_6572

Rim OEM Impreza STi Version 7 digunakan bagi menggantikan rim standard 16 inci Forester. Tayar yang menjadi pilihan ialah Bridgestone Potenza bersaiz 235/45/17 yang pastinya untuk kegunaan jalan raya dan bukannya untuk meredah hutan.

Perubahan kosmetik yang boleh dilihat pada Forester ini adalah penggunaan kit badan Forester SF9, iaitu model facelift Forester ini. Lips dan spot light depan adalah hasil rekaan custom yang dibuat di atas bumper asal Forester bagi memberikan sedikit kelainan.

Pada bahagian dalaman Forester ini, boleh dikatakan hampir langsung tak diusik, melainkan pada mereka yang perasan. Meter yang digunakan ialah meter asal Impreza Version V yang diubah suai untuk dipadankan pada papan pemuka asal Forester.

DSC_6610

Agak pelik juga apabila tombol pendingin hawa jenis manual daripada Impreza Version V pun disalin sekali ke papan pemuka ini. Walhal Forester menggunakan sistem kawalan jenis digital. Sebuah meter RSM jenama A’PEXi dan meter boost Defi menjadi aksesori tambahan pada Forester ini.

Mungkin satu hari nanti saya nak pandu semula Forester model ini selepas dijual dua tahun lalu. Rindu seh dengan enjin boxer…

[hr]  Spesifikasi

Pembuat / Model: Subaru Forester SF5

Ubah suai enjin: EJ20 2000cc turbo Impreza STi Version V, penapis udara A’PEXi, injap blow-off HKS SSQV, penyelaras bahan api SARD, hos Samco

ECU: Standard dengan A’PEXi S-AFC

Sistem ekzos: Custom 3”, peredam bunyi A’PEXi N1

Kotak gear: manual lima kelajuan Impreza STi, klac Exedy Racing

Sistem gantungan: Penyerap hentak dan pegas gegelung Impreza STi Version V, lower arm aluminium STi

Sistem brek: Brek cakera dan pengangkup 2 pot Impreza STi (depan), standard (belakang)

Rim / Tayar: Rim OEM Impreza STi Version VII / Bridgestone Potenza 235/45/17

Luaran: Ubah suai penuh Forester SF9, lips depan custom, spotlight custom

Dalaman: Standard Forester SF5, meter Impreza STi, A’PEXi RSM, meter boost Defi

[hr]

Galeri

333DSC_6568DSC_6571DSC_6612DSC_6615

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button