Pandu Uji

SUBARU XV – PEMANDUAN DINAMIK

Jenama Subaru di pasaran tempatan sebelum ini tenggelam timbul. Hanya aktif apabila ada model baharu dan kemudian senyap kembali. Subaru ialah nama besar dalam dunia rali. Namun, kekuatan jenama dalam sukan rali tidak berjaya mempengaruhi pelanggan tempatan untuk membeli produk Subaru.Β 

SONY DSC

Motor Image selaku pengedar tempatan telah cuba pelbagai cara, tetapi masih gagal untuk mendapat kepercayaan pasaran. Segala-galanya bagaimanapun berubah apabila Toyota membeli saham Fuji Heavy Industries (FHI) yang merupakan pemilik Subaru.

Produk usaha sama pertama di antara kedua-dua syarikat tersebut ialah pembangunan serta pengeluaran model legenda moden iaitu Toyota 86 dan Subaru BRZ. Penjualan model itu seolah-olah membuka kembali mata ramai tentang Subaru dan menjadi peristiwa penting dalam sejarahnya.

SONY DSC

Para peminat kereta kembali kagum. Dengan meledaknya kembali jenama Subaru, syarikat itu menawarkan pula produk global baharunya iaitu Subaru XV. Apa yang bijak dan menariknya ialah Subaru tidak memperkenalkan sedan, sebaliknya melancarkan sebuah crossover.

Tan Chong International Limited (TCIL) yang merupakan pemilik Motor Image tidak menunggu lama untuk mengambil kesempatan itu dan membina kembali jenama Subaru dengan memasang XV di kilang Tan Chong di Segambut, Kuala Lumpur. Serentak dengan itu, banyak bilik pameran baharu telah dibuka sebagai tanda kempen agresif telah pun bermula.

SONY DSC

Baru-baru ini, saya diberi peluang memandu uji produk global terbaru Subaru XV yang dilancarkan pada penghujung 2012. XV sebenarnya sudah menarik perhatian saya kerana banyak kali terserempak di atas jalan dengan demografi pembeli yang berbeza.

Bagi sebuah jenama yang baru dihidupkan kembali, senario itu memang menakjubkan. Semasa mengambil XV di pejabat korporat Subaru, tiada apa yang saya fikirkan kecuali tertanya-tanya bagaimana karakter sebuah jenama yang sangat sinonim dengan teknologi pengecas turbo kini mengeluarkan kereta aspirasi normal (normal aspiration) secara arus perdana.

SONY DSC

Sewaktu pertama kali merehatkan badan di dalam XV, ingatan mengimbas kualiti yang makin lama makin terhakis daripada pengeluar kereta Jepun lain. Saya dapat rasakan yang reka bentuk interior dan pemilihan material dipilih oleh pasukan pembangunan senior yang setia dengan cara lama.

Reka bentuknya kemas, manakala material lembut yang membaluti papan pemuka pula memberi makna kualiti, sesuatu yang berbeza daripada pengeluar lain yang banyak bertukar kepada plastik keras.

SONY DSC

Susun atur alat kawalan dan suis-suis mudah dicapai. Cuma dari segi persembahan grafik meter seolah-olah kurang input orang muda apabila tiada benda yang menarik untuk dilihat dan dimainkan.

Meter informasi kereta juga biasa-biasa saja dan boleh dikatakan agak ketinggalan berbanding produk masa kini. XV tidak didatangkan dengan sistem akses tanpa kunci dan butang penghidup enjin yang sudah menjadi kelaziman kebanyakan kereta.

SONY DSC

Reka bentuk kunci dan set penggera juga tidak sepadan dengan imej XV yang ranggi. Mujur stereng XV mengikut trend apabila dibekalkan dengan kawalan audio, telefon dan auto cruise. Sistem audio Kenwood dilengkapi skrin sentuh, sistem navigasi Garmin, kamera undur dan ketersambungan telefon bebas tangan. Bonet barangan XV kecil, kontras dengan rekaan luarannya yang nampak besar dan tegap.

Namun, kekurangan itu ditebus kembali dengan prestasi enjin. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, saya dapat rasakan enjin Boxer bersesaran 2.0 liter dibina, ditala dan diharmonikan oleh pasukan yang berpengalaman. Rasanya, inilah antara faktor kenapa ramai yang terpikat dengan XV sebaik sahaja memandu uji di bilik pameran.

SONY DSC

Pasukan jurutera telah menala enjin supaya cepat memberi respon dan bertenaga. Sedikit sahaja pedal ditekan, XV terus meluncur tanpa bertangguh dan talaan ini sangat sesuai untuk pemanduan bandar.

Talaan seperti itu sebenarnya digunakan pada kereta rali yang ingin cepat keluar selepas melalui selekoh yang mencabar. Tetapi, talaan transmisi Lineartronic CVT kurang mengujakan selepas kereta dipandu laju di mana putaran enjin menjadi lebih perlahan.

SONY DSC

Apa pun, pemandu boleh kembali berseronok dengan bermainΒ paddle shift sehingga enam kelajuan. Lebih menarik lagi, Subaru turut membekalkan indikator untuk pemandu menaikkan atau menurunkan gear seolah-olah ganti kepadaΒ shift lightΒ kereta lumba.

Dari aspek pemanduan dan pengendalian pula, semestinya Subaru cemerlang dengan sistem symmetrical AWD. Dibantu pula dengan chasis yang tegar, terasa seolah-olah kereta melekat di atas jalan walaupun hakikatnya XV mempunyai jarak kelegaan bumi yang tinggi.

SONY DSC

Walau bagaimanapun, untuk mereka yang sudah biasa dengan kereta Jepun pasti terasa stereng XV agak berat. Mungkin ia sengaja ditala begitu untuk memadankan dengan karakter enjin yang senang dipecut itu.

Satu perkara lagi yang boleh dipuji ialah sistem suspensi yang benar-benar bekerja di dalam menyerap hentak lopak jalan raya dan turut mengimbangi tekanan sewaktu mengambil selekoh dengan agresif.

SONY DSC

Saya rasakan talaan tersebut adalah daripada input bertahun-tahun penglibatan Subaru dalam sukan rali. Pereka Subaru juga masih menggunakan prinsip lama dan berkesan dalam mereka bentuk XV. Cermin tingkap sisinya luas dan tidak terhalang oleh tiang A di mana pemandu bebas untuk melihat keluar sewaktu mengambil selekoh.

Secara keseluruhannya, saya suka bagaimana Subaru menala dan memasarkan XV. Cuma terdapat beberapa penambahan untuk menarik lebih banyak perhatian pelanggan.

SONY DSC

Motor Image memasarkan Subaru XV pada harga yang setara dengan Honda CR-V dan lebih tinggi berbanding Mazda CX-5. Pastinya pelanggan berbelah-bahagi dan buat masa sekarang Motor Image menawarkan harga istimewa iaitu sekitar RM130,000 yang saya kira berbaloi untuk XV.

Motor Image juga boleh menyemak dan menambah aksesori popular seperti butang penghidup enjin, akses tanpa kunci, lampu HID dan penambahan beg udara sisi sebagai tambahan kepada beg udara berkembar dan buku lali yang didatangkan standard.

SONY DSC

Apa pun, saya gembira apabila Subaru kembali ke pasaran arus perdana. Sebabnya, Β produk Subaru bagus dan menawarkan sesuatu yang segar untuk pasaran tempatan, selain Gred A untuk keseronokan pemanduan!

Teks:Β Muhammad Md Tajudin (@muhd_gt)

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button