Motosikal

SUDAH JELAS YANG ENJIN BARU 2019 MASIH BELUM CUKUP BAIK – ROSSI

Ia bukanlah satu perkhabaran yang menggembirakan Yamaha walaupun kedua pelumba mereka Valentino Rossi dan Maverick Vinales telahpun memutuskan spesifikasi enjin yang telah menjadi pilihan mereka untuk musim 2019. Yang menggusarkan mereka ialah Rossi tidak begitu gembira dengan enjin baru untuk musim 2019 tersebut. Bagi Rossi ia masih lagi ketinggalan jika dibandingkan dengan enjin jentera saingan yang lain.

Bercakap selepas sesi ujian di Jerez, Rossi menyatakan yang beliau dan Vinales telah memilih enjin yang menawarkan kuasa brek enjin yang lebih baik. Walaupun enjin tersebut menjadi pilihan mereka Rossi turut menegaskan yang enjin tersebut tidak akan membawa banyak perbezaan.

Rossi cuma berjaya mencatat masa ke-17 terbaik selepas mengalami masalah teknikal sebaik keluar ke litar dengan menggunakan tayar baru. Beliau menyatakan terdengar bunyi pelik dari motosikal dan segera berhenti.

Isu paling besar bagi pelumba Itali masih lagi untuk mengekalkan rentak perlumbaan. Entah kenapa jentera M1 gagal menggunakan tayar Michelin sebaik saingan mereka. Dengan penggunaan tayar baru, jentera Yamaha memang akan cukup laju termasuklah Maverick Vinales tetapi bila diperiksa selepas pusingan kelima dan keenam didapati ia haus dengan cepat.

Dengan kata lain bagi Rossi, enjin 2019 memang belum cukup bagus. Bahkan menurut Rossi jika mereka berlumba esok mungkin kedudukan terbaik yang berjaya diraih ialah tempat keenam, ketujuh dan kelapan. Kalau ada pelumba yang terbabas di hadapan mungkin mereka naik satu lagi kedudukan tetapi jelas menurut beliau yang mereka tidak akan mampu menjadi juara.

BACA: AZLAN KECEWA GAGAK PERTAHAN GELARAN JUARA SUPERSPORT 600CC

Rossi menjelaskan lagi yang ianya cukup mudah untuk memilih antara dua enjin yang disediakan oleh Yamaha. Masalah bukannya untuk membuat pilihan yang tepat tetapi paling utama kedua-dua enjin tidak memberikan kelebihan yang mereka amat perlukan.

Persoalannya adakah Yamaha yang mahu membuat pilihan enjin akhir hujung minggu ini akan menyediakan enjin pilihan ketiga sebelum sesi ujian litar Sepang dimulakan awal tahun depan? Rossi sendiri tidak mengetahui tentang perancangan Yamaha. Mungkin ada enjin spesifikasi ketiga mungkin juga tiada.

Tapi Rossi masih lagi berharap akan terdapat penambahbaikan pada komponen elektronik bagui mengimbangi kekurangan yang ada pada jentera M1. Jika enjin baru belum mencukupi, masih ada bahagian lain yang boleh diubahsuai dan dinaiktaraf sepanjang musim. Dengan kata lain masih ada harapan untuk pelumba-pelumba Movistar Yamaha.

Vinales merupakan pelumba keempat terpantas pada sesi ujian dan Morbidelli keenam. Pelumba-pelumba Ducati seperti Petrucci dan Dovizioso kelas menguasai sesi ujian di Jeres itu.

Google ads
Back to top button