SUPREME KOLEKSI ‘SPRING 2024’: DUCATI STREETFIGHTER V4 S
Jenama streetwear popular dari Amerika Syarikat, Supreme dengan rasminya menjalinkan kerjasama dengan pengeluar motosikal Itali, Ducati bagi menghasilkan beberapa produk istimewa termasuk sebuah Ducati Streetfighter V4 S.
Supreme membuat kejutan tersebut ketika mengumumkan koleksi terbaru bagi Spring 2024.
Ducati Streetfighter V4 S itu hadir dengan kombinasi warna merah dan putih yang juga merupakan warna ikonik Supreme. Seperti kebiasaan, kelihatan juga tulisan Supreme di seluruh panel badan motosikal berkenaan.
Menurut laporan, grafik khas tersebut telah dihasilkan Drudi Performance. Bagi yang mungkin tak kenal nama Dudi Performance, mereka adalah pihak yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan bagi helmet Valentino Rossi di pentas MotoGP sehingga ke hari ini.
Turut melengkapkan rupa Streetfighter V4 S edisi Supreme ini adalah kaliper brek Brembo berwarna merah serta rim serba putih. Juga terdapat pelekat penaja seperti Pirelli, Shell dan Brembo.
Koleksi Supreme X Ducati ini juga terdiri dari helmet Arai Corsair X juga menampilkan grafik dan rekaan dari Drudi.
Bagaimanapun, Streetfighter V4 S edisi khas itu masih mengekalkan spesifikasi sama termasuk enjin Desmosedici Stradale 1,013cc V4 yang menawarkan 208hp.
Pakej elektronik juga kekal sama termasuk traction control, mod menunggang, wheelie control, cornering ABS, launch control, slide control, engine brake control serta quickshifter.
Bagi peminat streetwear dan motosikal, pastinya kolaborasi ini antara yang ditunggu-tunggu. Apatah lagi, Supreme jarang sekali melakukan kerjasama seperti ini selepas kali terakhir melakukannya pada 2020 menerusi Honda CRF250R.