SUZUKI HAYABUSA 2014
Jentera itu digeruni kerana kuasa dan rekabentuknya yang agresif. Mula diperkenalkan pada 1999, Hayabusa atau dikenali sebagai 1300GSXR di sesetengah negara menjadi motosikal Jepun paling pantas pernah dibangunkan dari segi prestasinya.
Model ini juga dianggap sebagai kayu pengukur dalam segmen Hypersport. Ia juga meletakkan standard baru pada sebuah motosikal yang mampu mencatat kelajuan melebihi 300km sejam.
Hayabusa juga telah memaksa pembuat motosikal lain mencari idea untuk membangunkan motosikal sedemikian rupa. Yamaha dan Honda (BlackBird) nampaknya sudah mengalah. Namun, Kawasaki masih mahu bertarung dengan mempertaruhkan ZX14. Sementara BMW tampil dengan model K1200S.
Suzuki yang menyedari pasaran motosikal berkuasa tinggi di Amerika Syarikat yang kian berkembang terus meninggalkan pesaingnya dengan pelbagai inovasi pada setiap model baharu Hayabusa.
Hayabusa dalam bahasa Jepun bermaksud sejenis burung (kecil sedikit daripada helang). Nama itu menggambarkan keupayaan sebenar motosikal ini menongkah arus perubahan dari sudut prestasi.
Satu masa dahulu, kelajuan melebihi 300km sejam dianggap sesuatu yang melampau untuk jentera beroda dua. Namun segalanya berjaya dilakukan Suzuki dengan menggabungkan semua aspek penting menjadi satu pakej yang sempurna.
Ia memiliki prestasi dan pengendalian yang jitu. Malah, reka bentuk ekor tebuan Hayabusa yang dikiritik satu masa dulu kini mula diakui memberi sumbangan besar terhadap aspek aerodinamik jentera secara keseluruhannya.
Di pasaran tempatan, Hayabusa bukanlah sesuatu yang sering dilihat di atas jalan raya. Maka, jika terserempak, kita pasti menoleh sambil mengagumi reka bentuknya yang agresif dan tuan punya yang semestinya orang berada.
Hayabusa selama ini juga dibawa masuk oleh pengimport parallel. Cuma, baru-baru ini pengedar rasmi motosikal jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (SAM) membuat kejutan dengan membawa masuk Hayabusa terbaharu dan tiga lagi jentera berkuasa tinggi iaitu Suzuki GSX1250FA, Suzuki GSX-R1000 serta Suzuki V-Strom 1000.
Ini merupakan kali pertama SAM menawarkan motosikal berkuasa kepada pengguna tempatan. Sebelum ini, ia hanya menyediakan skuter dan motosikal berkuasa bawah 250cc.
Hayabusa menerima pujian melimpah ruah sejak model 2008 berada di pasaran. Ketika penunggang begitu asyik menghayatinya, pasukan jurutera Suzuki bertungkus-lumus memikirkan cara untuk menyegarkan kembali model tersebut untuk pasaran seterusnya. Jadi, apabila telah memiliki enjin yang hampir sempurna, hanya beberapa pengubahsuaian kecil dilakukan pada nadi penggeraknya.
Hayabusa 2014 dikuasakan oleh unit enjin empat lejang, empat silinder DOHC bersama sistem penyejukan cecair. Bersesaran 1,240cc ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 197hp @ 9,500rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan jenis constant mesh.
Penukaran gear menjadi lancar dengan aplikasi Suzuki Clutch Assist System (SCAS). Ia berfungsi memudahkan proses penurunan gear dan menyumbang kepada tarikan klac yang ringan. Aerodinamik pengendalian Hayabusa pula ditingkatkan menerusi penggunaan suspensi inverted teleskopik pada roda hadapan dan jenis link untuk roda belakang.
S-DMS (Suzuki Drive Mode Selector), ciri unik yang membolehkan enjin mengubah prestasi mengikut mod tunggangan pula telah dipertingkatkan keberkesanannya. Dengan mengambil kira tahap praktikaliti berbanding prestasi, Suzuki meminjam teknologi S-DMS dari model B-King.
B-King turut berkongsi meter dengan papan instrumentasi Hayabusa yang bacaannya kini lebih praktikal dan berguna kepada penunggang. Ia menampilkan takometer analog, meter kelajuan digital, meter takat bahan api, suhu air, sepasang meter perbatuan, jam, jadual penyelenggaraan, pecutan masa, kelajuan purata, posisi gear, dan indikator mod S-DMS.
Untuk semua kecanggihan teknologi, prestasi tunggangan dan status lagenda, Hayabusa ditawarkan pada harga RM102,696 seunit. Ya, memang tidak murah. Tetapi saya boleh jamin orang ramai akan mengagumi jika anda menunggangnya.