Motosikal

SYM LANCAR 3 VARIAN KAPCAI E BONUS – BERMULA RM3,768 SEUNIT

Sejak dilancarkan pada tahun 2010, varian kapcai SYM Bonus nyata diterima baik oleh pengguna di Malaysia.

Kini SYM Bonus kembali dengan tiga varian yang mematuhi piawaian EURO 3 iaitu E Bonus 110, E Bonus 110 H dan Bonus 110SR. Semua motosikal itu digerakkan oleh enjin 108cc, SOCH, empat lejang dengan sistem penyejukan udara.

Mampu menjana 7.1hp pada 7500rpm, kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang melalui transmisi rotari empat kelajuan. Bagi varian E Bonus 110 dan E Bonus 110 H, ia dilengkapi brek gelendong pada roda hadapan dan belakang. Manakala Bonus 110SR pula dipasang brek cakera pada roda hadapannya.

E Bonus 110 hadir dengan rim jejari, sementara varian E Bonus H dan Bonus 110SR menggunakan sport  rim. Soket USB ada ditawarkan untuk varian Bonus 110SR.

Kapcai itu menggunakan fork teleskopik untuk roda hadapan dan penyerap hentak jenis pegas gegelung di belakang.  Dengan berat 103kg, SYM E Bonus mempunyai tangki bahan api berkapasiti empat liter. Semua varian didatangkan penghidup elektrik dan tendang.

Ciri tambahan untuk versi terbaharu ini ialah ruang penyimpanan barang di bawah tempat duduk dan suis kunci keselamatan. Bahagian plastik tertentu pula diganti dengan tekstur seperti gentian karbon.

SYM E Bonus 110 dijual pada harga RM3,768 seunit. E Bonus 110 H dan Bonus 110SR masing-masing berharga RM3,898.00 dan RM4,278.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

E Bonus 110 boleh didapati dalam warna biru, hitam dan merah bermula September 2018. Manakala E Bonus H dan Bonus 110SR boleh dibeli selepas November depan.

Google ads
Back to top button