Motosikal

TAMATKAN PERLUMBAAN DI TEMPAT KE-12, HAFIZH KUTIP 4 MATA DI MOTOGP ITALI

Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan MotoGP Itali dengan mengutip empat mata apabila berada di tempat ke-12.

Perlumbaan yang berlangsung di litar Mugello itu menyaksikan Hafizh memulakan saingan di petak ke-14. Beliau berjaya menghabiskan 23 pusingan dengan catatan masa 42 minit 05.665 saat.

“Ini merupakan satu perlumbaan yang sukar dalam cuaca sangat panas. Terima kasih kepada pasukan. Saya tetap gembira kerana pada awal perlumbaan, saya bergelut sedikit untuk mendapatkan cengkaman.

“Saya juga kena akui terkejut kerana pelumba KTM begitu laju. Jadi, memang sukar untuk memintas mereka di laluan lurus. Saya kehilangan masa di laluan lurus dan cuba untuk lebih laju di selekoh.

“Dalam perlumbaan ini, saya rasa sudah mengerah segala tenaga untuk cuba hampir dan berada di hadapan Morbidelli. Saya berjanji akan terus bekerja keras dan lebih bertenaga dalam perlumbaan seterusnya,” kata Hafizh.

Dengan keseluruhan 17 mata selepas enam perlumbaan, Hafizh kini berada di kedudukan ke-16 dalam senarai pelumba MotoGP.

Empat mata berharga itu membantu kembali melonjakkan Hafizh dalam carta pelumba baharu dalam kelas perlumbaan perdana tersebut.

Prestasi memberangsangkan itu membolehkan Hafizh berkongsi 17 mata dengan pelumba Franco Morbidelli.

Pelumba pasukan Ducati, Jorge Lorenzo, dinobat sebagai juara di Litar Mugello. Kejayaan tersebut lebih manis buat pasukan Ducati apabila seorang lagi pelumbanya, Andrea Dovizioso berada di tempat kedua apabila ketinggalan hanya 6.370 saat.

Valentino Rossi yang memulakan perlumbaan di petak pertama pula terpaksa berpuas hati apabila menduduki podium di kedudukan ketiga.

Google ads
Back to top button