Modifikasi

CIVIC EK TURBO – RAHSIA POHON CEMARA

Ketika ini, kaedah modifikasi yang dilakukan ke atas jentera-jentera drag tempatan, sebenarnya sudah terlalu maju berbanding dulu. Kemampuan poket satu hal, ditambah kemudahan pembelian komponen secara terus dari pengeluar ternama. Kalau dulu bikin drive-shaft pun sambung-sambung, sekarang nak tempah terus ngan Driveshaft Shop kat North Carolina pun boleh.

Pun begitu, catatan masa yang dilakukan oleh jentera-jentera ini masih tidak banyak berubah. Berapa kerat sangat yang mampu membenam rekod. Sementara yang lain, keras di takuk lama sebelum hilang dari radar perlahan-lahan. Tengok pada barang, punyalah mahal. Tapi gagal beraksi cemerlang, akibat faktor luaran yang mengganggu.

BACA: CIVIC TURBO SI MAFIA HITAM

Civic 2-pintu dari Kemaman Crew ni, antara pemain baru yang sedang mencuba nasib. Kereta je baru, yang belakang tabir suma orang lama.

Untuk luaran, kesemua komponen asal masih ditempatnya kecuali bahagian depan yang menempatkan kit badan karbon fiber untuk bumper, fender grill dan hood. Bonet belakang tu pun tukar yang karbon fiber. Kemudian disentengkan sikit bumper belakang, tambah unit diffuser, cermin sisi Spoon, termasuk menggantikan bahagian cermin dengan plastik perspex.

Set-up bahagian roda menggunakan rim Belak Industries bersaiz 15-inci, yang digabungkan dengan tayar belon M&H Racemaster 26.0/10.0-15 di depan dan Hoosier 25.0/5.0-15 untuk belakang.

Set suspensi bagaimanapun tak mahal mana, jenis AR Racing tempatan yang boleh dilaras sepenuhnya. Sementara kuasa hentian pulak, memadai dengan brek asal Civic EK9 di bahagian depan.

Peningkatan terbesar berlaku di bahagian enjin. Menggunakan enjin B18CR sebagai asas, ia telah dibina semula dengan beberapa komponen penting seperti blok sleeve Super90, piston 84mm, serta conrod dari CP Carrillo. Bahagian kepala silinder diberi kerja-kerja port & polish, sebelum dipadankan dengan set camshaft Skunk2 Pro.

BACA: CIVIC SI PELURU HANTU

Punca kuasa datang dari unit turbo Garrett GT35 yang tertenggek di atas sebuah manifold kustom, lengkap bersama wastegate Tial 44mm. Sebaik disejukkan oleh unit intercooler, tekanan boost ini akan dibawa ke throttle body Super90, yang tertenggek pada mulut manifold kemasukan Skunk2 Ultra. Manakala lebihan boost yang tidak digunakan, akan dipancit keluar menerusi injap pelepas Precision Turbo.

Untuk sistem penyampaian bahan api, bekalan petrol dari tangki ATL Racell akan dipam masuk menggunakan pam Aeromotive A1000. Ia kemudian disalurkan kepada rel bahan api Golden Eagles Pro Series, yang memegang set injektor FIC 2000cc dan regulator Aeromotive. Campuran kedua-dua elemen ini seterusnya diletuskan oleh koil CPR dari Hondata, sebelum ditala menggunakan unit pengurusan enjin Hondata S300 V3.

Hasil dari proses pembakaran akan segera dikeluarkan menerusi paip ekzos kustom yang terjojol keluar pada hood depan. Satu untuk turbo, satu lagi untuk wastegate. Bagi mengagih kuasa ke bahagian roda, kotak gear yang digunakan mengandungi set gear ratio dari MFactory, final drive 4.7, sebelum dilapik klac loceng dari OS Giken.

Sesuai dengan tugasnya sebagai jentera drag, bahagian dalaman perlu ditogelkan semahu mungkin. Pun begitu, aspek penampilan tetap diberi keutamaan menerusi layangan cat baru berwarna silver.

Apa yang tinggal, hanyalah saki-baki komponen yang perlu seperti dashboard separuh rentung, stereng Momo Tuner, meter rpm dan tekanan minyak Defi, meter boost M7 Japan, serta tuas gear K-Tuned. Memastikan kosentrasi jokey tidak terganggu, disediakan sebijik tempat duduk aluminium Butler Built lengkap bersama harness dari Takata.

Melihat kepada senarai komponen yang digunakan, boleh terkejut Mak Limah dibuatnya. Tapi gitulah adat bertanding. Ada masa atas podium, ada masa balik awal.

Walaupun dah habis ikhtiar, masalah mencari setup yang sesuai masih menjadi topik utama perbualan. Kalau tak silap, rekod terbaik yang pernah dicapai adalah, juara kategori FWD Turbo Pro Drag (2WD Open), ketika perlumbaan Terangganu Drag Battle (King Of The King 1.0) tahun lalu.

Power dah tuuu…

-PAK MAUN-

GALERI

 

Google ads
Back to top button