
TOYOTA HILUX ICE EKSTREM
Usianya mungkin sebaya bapa saya, tetapi William ialah salah seorang warga emas yang menghabiskan usia tuanya dengan cara yang berbeza. Pada usia lewat 50-an, dengan tubuh yang masih gagah, William meneruskan perniagaan pemasaran ais krim yang diwarisi keluarganya sejak 30 tahun yang lalu.
Anaknya cuma seorang yang kebetulan baru sahaja menamatkan pengajian di sebuah kolej dalam bidang animasi. Minat William dan anaknya sama sekali berbeza. William yang pada waktu muda sibuk menguruskan perniagaan dan keluarga kini membayar nilai pencennya dengan sebuah trak pikap Toyota Hilux.
Jika anda ke selatan tanah air, Hilux dengan airbrush ini akan berada di mana-mana sahaja pertandingan autoshow yang diadakan. Waktu-waktu lapang uncle ini diisi dengan hobi mengubah suai keretanya dan bersembang dengan anak-anak muda berlainan bangsa yang memiliki hobi sama.
Walaupun baru saja mengenalinya, saya boleh rumuskan bahawa William ialah tipikal uncle berusia yang peramah, fasih berbahasa Melayu dan mempunyai semangat persahabatannya sangat tinggi. Dia tidak perlukan slogan 1Malaysia untuk sama-sama duduk di bawah perit matahari menanti kereta dijuri dalam pertandingan.
Semangatnya itu membawa William bersama Hilux kesayangannya menjadi sebuah kenderaan yang tidak sama langsung dengan yang pernah anda lihat sebelum ini. Trak yang dibeli dua tahun lalu telah diubah suai beberapa kali dengan konsep berbeza.
Sewaktu berjumpa dengannya tidak lama dahuulu, katanya bodykit buatan Thailand sudah ditempah, hanya tunggu rim 20 incinya sampai dan semuanya akan dibuat semula.
Kecantikan binaan Hilux ini boleh dilihat dari banyak sudut. Kemasan airbrushnya jarang dibuat pada sebuah trak, penutup but bersalut karbon, spoiler kecil di belakang cab dan susunan alatan VIP di dalamnya. Saya ingatkan sebuah sub di kaki penumpang adalah penamat audio, tapi apabila hud belakang dibuka, itulah dia sebenarnya!
Trak ini mempunyai dua sistem audio berasingan. Untuk kokpitnya, pemain Kenwood 630 DVD dipasang. Pemain ini adalah generasi baru Kenwood yang direka bentuk untuk disesuaikan dengan DIN kereta Toyota khasnya.
Ia disambungkan dengan pemproses yang bukan calang-calang, Audison Bit 10. Kemudian, dua buah amp dipasang iaitu amp empat saluran THC1204 dan amp dua saluran THC1002. Amp empat saluran menguasakan pembesar suara mid bass dan tweeter TP-65CP. Sementara amp dua saluran pula membekalkan kuasa kepada sub 10 inci TPM10 tadi.
Sistem pertunjukan sebenar Hilux ini terletak pada bahagian belakangnya. Sebuah televisyen LCD Sharp bersaiz 42 inci mendominasi ruang visual sebaik penutup dibuka. Enam buah skrin kecil dipasang di bahgian kiri dan kanan untuk ilusi optik supaya kelihatan lebih bercahaya.
Pemain Pioneer dengan ciri-ciri bacaan USB menjadi nadi penggerak sistem pertunjukan ini. Unit pemproses The Punch THC-X3 dipasang sebagai pelaras primer untuk apa juga bentuk media yang disalurkan padanya. Empat buah amp berbeza membekalkan kuasa secukupnya pada semua speaker yang dipasang. Amp tersebut ialah dua buah THC-700 dan dua buah THC-500.
Amp The Punch siri 700 tadi ditugaskan untuk menghentam tiga sub 12 inci dan tiga sub 10 inci. Lebih menarik apabila sub ini dimuatkan dalam perumah buatan khas yang dibina menggunakan gentian kaca dan kotak kayu. Cara sub ini ditempatkan dengan liang-liang udara memberi kuasa secukupnya. Ruang langsung bukan satu masalah!
Seterusnya, enam buah mid dipasang pada penutup trailer tadi. Kerja cantuman dan pemasangan set mid ini kemas dan halus sehingga berjaya menyembunyikan semua pendawaian yang digunakan. Akhirnya, sepasang tweeter jenis horn THC-T50 dilengkapkan.
Toyota Hilux ini lebih dari sekadar satu paparan untuk pembaca Mekanika Malaysia yang kami bawa pulang dari Muar, Johor. Saya tertarik dengan semangat jitu yang ditunjukkan oleh Uncle William dan membuka mata saya tentang betapa gembiranya kehidupan dia sekarang. Memang benar-benar unik dan satu dalam sejuta!
[hr]Galeri




























