Buletin

TOYOTA PERTAHAN PENGELUAR AUTOMOTIF PALING LARIS DUNIA. JUALAN 5.47 JUTA UNIT KENDERAAN SEPARUH PERTAMA 2021

Toyota Motor Corp mempertahankan status sebagai pengeluar automotif paling laris di dunia dengan mencatat rekod jualan 5.47 juta unit kenderaan pada separuh pertama tahun ini.

Pencapaian tersebut menewaskan pesaing utama, Volkswagen AG yang mencatat jualan 4,978,200 unit.

Ia merupakan tahun kedua berturut-turut Toyota dinobat sebagai jenama nombor satu dunia sekali gus menunjukkan pemulihan daripada kesan pandemik dan masalah bekalan cip di peringkat global.

Sepanjang tempoh Januari-Jun, Toyota telah berjaya menjual 5,467,218 unit kenderaan di peringkat global, peningkatan sebanyak 31.3 peratus berbanding tahun lalu.

Jumlah jualan tersebut turut merangkumi kenderaan yang dijual oleh syarikat subsidiarinya iaitu Daihatsu Motor Co dan Hino Motors Ltd.

Peningkatan permintaan yang kuat di pasaran Amerika dan China melonjakkan angka jualan sebanyak 36.5 peratus kepada rekod terbaharu 4.3 juta kenderaan sepanjang tempoh tersebut.

Di Jepun pula, Toyota mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 15.0 peratus kepada 1.17 juta kenderaan termasuk kenderaan mini kei 660 cc.

Pengeluar Jepun lain seperti Honda Motor Co. pula berjaya merekod jualan sebanyak 2.37 juta unit kenderaan (naik 25.8 peratus).

Nissan Motor Co. pula mencatat peningkatan 21.5 peratus kepada 2.20 juta unit kenderaan untuk tempoh yang sama di peringkat global. – japantoday

Google ads
Back to top button