
TOYOTA VIOS 2019 – SEDAN UNTUK SEMUA
Selepas dipertontonkan ketika Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) November tahun lalu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) selaku pengedar sah kenderaan Toyota di Malaysia telah memperkenalkan secara rasmi Toyota Vios serba baru untuk pasaran tempatan pada Januari lepas.

“Sejak model pertama dilancarkan pada 2003, kami telah menjual hampir setengah juta Vios, menjadikannya antara model paling popular dalam segmen berkenaan. Selepas beberapa tahun, kami telah meletakkan satu standard tersendiri bagi kenderaan dalam segmen itu.
“Dengan pengenalan Vios generasi ketiga ini, ia sekali lagi akan melakukan perkara sama,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K sewaktu pelancarannya tempoh hari.

Dengan penampilan terbaru ini, Vios tidak hanya menerima wajah baru tetapi turut melibatkan naik taraf dan penambahbaikan lain yang menjadikannya lebih seronok dan selamat dipandu.
Semua varian menerima penarafan maksimum bagi ASEAN NCAP lima-bintang dan dilengkapi dengan tujuh beg udara SRS, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dan kawalan bantuan mula mendaki (HSA).
Perubahan paling ketara di bahagian dalam pula ialah papan pemuka. Panel instrumen telah diberikan rekaan baru, kemasan dan kusyen tempat duduk baru.

Tidak ketinggalan, bahagian konsol tengah yang hadir dengan rekaan baru, slot pengecas USB tambahan serta lampu kabin untuk penumpang belakang, ruang barangan yang ditambah serta sistem kawalan pendingin hawa automatik untuk semua varian.
Pemanduannya juga menjadi lebih senyap kerana kadar gegaran dan kebisingan (NVH) kini lebih rendah disebabkan aspek penebat bunyi yang telah ditambah baik.
Bagi Vios 1.5G, ia kini didatangkan dengan paddle shifters dan rim aloi 16-inci sebagai ciri standard.

Varian paling lengkap pula turut menerima meter Optitron berwarna dengan paparan pelbagai maklumat serta sistem infotainmen DVD-AVX dengan ciri USB.
Ciri-ciri standard lain termasuk kemasan kulit, cermin pandang belakang electrochromic serta suis Sports Mode.
Faktor keselamatan juga dipertingkat dengan adanya ciri seperti Blind Spot Monitor, Panoramic View Monitor, Front Digital Video Recorder dan Rear Cross Traffic Alert – ciri-ciri yang sebelum ini hanya ada pada model Toyota yang lebih besar.
Vios serba baru ini merupakan model pertama UMW Toyota Motor yang dikilangkan di kemudahan baru bertempat di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang, Selangor.

Merupakan satu daripada kilang Toyota yang paling moden di dunia, ia dibina selari dengan hala tuju pengilangan kenderaan baru berkecekapan tinggi oleh kerajaan Malaysia.
Satu ketika dahulu bila disebut nama Toyota ramai akan membayangkan kereta-kereta yang digunakan oleh golongan ayah dan ibu, selain warga veteran yang memang sekian lama menjadi peminat setia Toyota.
Tetapi setelah Vios diperkenalkan, rekaannya yang moden dan segar mula menambat hati golongan muda yang mahukan sebuah kereta yang bergaya dan menepati gaya hidup moden.

Selain dari gaya, Vios sebenarnya sebuah kenderaan yang cukup selesa untuk pemandu dan penumpang.
Baik untuk golongan muda yang suka bersantai bersama rakan-rakan ataupun suri rumah yang sentiasa bergegas untuk menghantar anak-anak ke sekolah, Vios menawarkan ruang yang luas dan keselesaan dengan enjin yang cukup senyap dan efisyen.
Panoramic View Monitor yang ditawarkan bersama Vios serba baru akan memberikan anda kemudahan sewaktu meletakkan kenderaan di kawasan pakir yang agak sempit.

Ia bagaikan mata tambahan yang sangat diperlukan pemandu khususnya pemandu wanita yang mempunyai anak kecil yang perlukan perhatian lebih.
Percayalah cakap kami, kereta yang menawan akan meningkatkan lagi tahap keyakinan anda dalam hidup baik dari aspek pekerjaan mahupun kekeluargaan.
Ia akan membolehkan anda bergerak dengan selesa dan kelengkapan keselamatan aktif dan pasif akan memberikan anda keyakinan yang diperlukan.

Sudah tentu kecantikan luaran semata-mata tidak akan sempurna tanpa sentuhan yang sama di bahagian dalam kabin. Untuk itu Vios baru ini memang cukup seimbang dengan kemasan berwarna perak dan hitam di bahagian dalam.
Ia bukan hanya nampak lebih elegan tetapi juga membuatkannya kelihatan lebih upmarket berbanding sebelumnya.
Dan akhir sekali sebagai pelengkap semestinya anda akan berpuas hati dengan perkhidmatan selepas jualan Toyota yang memang memang antara terbaik.
Selain waranti 5-tahun dan perkhidmatan penyelenggaraan, Toyota juga menyediakan khidmat road side assistance bagi memastikan perjalanan anda selamat dan lancar ke mana saja.
- BACA: TOYOTA VIOS – TANDA ARAS BARU SEGMEN B
- BACA: TOYOTA TERCEL, INI NENDA VIOS DAN YARIS
- BACA: APA KATA DIANA DAN WANY TENTANG TOYOTA VIOS CHALLENGE, TAYAR TOYO DAN PESANAN BALIK RAYA
- BACA: TOYOTA VIOS GENERASI KE-3 DILANCARKAN – 3 VARIAN AT, BERMULA RM77,200 SEUNIT
GALERI