Motosikal

URUS MARQUEZ DAN LORENZO PASTI MENCABAR – HONDA MOTOGP

Menguruskan hubungan di antara dua pelumba bagi musim 2019, Marc Marquez dan Jorge Lorenzo pasti mencabar. Ia diakui sendiri oleh ketua pasukan Honda MotoGP, Alberto Puig.

Lorenzo bakal berpindah dari Ducati ke Honda bagi menggantikan Dani Pedrosa pada musim depan. Perkembangan itu membolehkan Honda mempunyai gabungan dua orang pelumba yang pernah memenangi kelas utama itu buat pertama kali sejak tahun 1989. 

Menurut Puig, rasional di sebalik pemilihan Lorenzo berkait rapat dengan falsafah Honda yang sentiasa mahu mendapatkan pelumba terbaik. Walaupun pemilihan tersebut dijangka membuatkan pasukan pening kepala untuk menguruskan ego kedua-dua pelumba itu.

“Perlu faham bahawa pasukan mahu mendapatkan pelumba terbaik. Prinsip Honda adalah menyediakan jentera dan berikan kepada pelumba paling laju. Sudah pasti tugas ini tidak mudah.

“Jika kami mahu sesuatu yang mudah, Honda mungkin tidak akan sampai ke tahap ini. Ia pasti menyulitkan, tetapi ia tetap satu cabaran. Di Honda, kami sentiasa mahukan cabaran, kata Puig.

Selain perlu mengurus dua personaliti, Honda pasti berdepan kesukaran untuk menghasilkan jentera terbaik buat Marquez dan Lorenzo yang mempunyai gaya tunggangan berbeza.

Pengurus Besar HRC, Tetsuhiro Kuwata menafikan dakwaan versi terkini jentera Honda RC213V dibina sepenuhnya mengikut keperluan Marquez sahaja.

“Jentera itu bukan untuk seorang penunggang sahaja. Sebaliknya ia untuk Marquez dan Dani. Kami akan teruskan cara yang sama tahun depan. Kami tidak kenal Lorenzo, tetapi sudah pasti kami akan cuba untuk memenuhi kehendaknya. Marquez juga ada banyak permintaan. Kami akan cuba penuhi semuanya.

“Ia semestinya sangat mencabar. Jika kami boleh hasilkan jentera yang bagus untuk Marquez dan Dani, ini bermakna potensi pasukan cukup tinggi,” kata Kuwata.

kredit foto: mptogp.com 

Google ads
Back to top button