Motosikal

VESPA PRIMAVERA 150 – IKONIK DAN INOVATIF, RM15,600 SEUNIT

Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira), pengedar motosikal jenama Vespa di Malaysia hari ini melancarkan tuga model baharu iaitu Vespa Primavera 150, Vespa Sprint 150 dan Vespa GTS 300 Super Sport ke pasaran tempatan.

“Vespa Primavera, Sprint dan GTS Super Sport baharu direka dengan gaya, keselamatan dan mantap. Sekali gus menjadikannya jentera terbaik untuk mengharung kesesakan jalan raya di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Naza Corporation Holdings, Dato’ Samson Anand George.

Naza Premira telah dilantik sebagai pemegang francais rasmi jenama Vespa di Malaysia pada tahun 2010. Sejak itu, terdapat lebih 11,000 unit Vespa berada di jalan raya. Pengaruh itu disebarkan melalui rangkaian 30 pengedar di seluruh negara.

Tahun 2018 menyaksikan Naza Premira hampir mencapai 70 peratus sasaran jualan sebanyak 1,125 unit. Dengan pengenalan tiga model baharu ini, Ia yakin dapat mencapai sasaran jualan menjelang akhir tahun.

Vespa Primavera

Mula diperkenalkan pada tahun 1968, Vespa Primavera merupakan versi pertama skuter Vespa yang ikonik. Kecil, lincah dan digerakkan oleh enjin penuh kuasa, jentera yang revolusionari ini menjadi impian anak muda dan diakui sebagai antara model yang paling berjaya dalam sejarah Vespa.

Hari ini, Vespa Primavera mengekalkan semua nilai yang menjadikannya begitu berjaya. Muda, inovatif, dinamik dan berteknologi tinggi, skuter ini direka untuk mereka yang berjiwa muda.

Vespa Primavera baharu dibezakan melalui ciri ‘tali leher’ yang tersendiri pada bahagian hadapan dan kemasan krom pada madgad. Ia juga dipasang dengan rim aloi aluminium lima jejari bersaiz 12 inci. 

Ia merupakan saiz rim paling besar dalam sejarah Vespa untuk memberi lebih kestabilan dan keselamatan. Jentera itu juga dilengkapi teknologi lampu LED terkini pada lampu hadapan dan belakang.

Skuter itu dikuasakan oleh enjin i-get empat lejang satu selinder bersesaran 150cc. Enjin tersebut mampu menjana kuasa 9.5kW pada 7,750rpm dan tork 12.8Nm pada 6,500rpm.

Vespa Primavera didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu berige metalik, hitam dan putih.

Boleh dimiliki pada harga bermula RM15,600 seunit, anda juga ditawarkan dengan pelbagai aksesori seperti kotak penyimpanan barang, peranti anti-kecurian dan pelana mekanikal.

GALERI

Google ads
Back to top button