
VESPA SPRINT CARBON – LEBIH SPORTY, RM17,400 SEUNIT
Selain Vespa 946 (RED), Naza Premira turut melancarkan model Vespa Sprint Carbon. Disifatkan sebagai versi Vespa sport paling moden, ia dibina untuk meningkatkan keseronokan menunggang.
Dengan badan yang kecil dan ringan, Vespa Sprint Carbon menggabungkan personaliti sporty dan teknologi inovatif. Maka, tidak hairanlah jika jentera ini cukup lincah dan pantas, ideal buat golongan muda dan mereka yang berjiwa muda.
Badan skuter itu diperbuat sepenuhnya daripada besi, selain tampil dengan lampu tama berbentuk empat segi dan rim aloi aluminium bersaiz 12 inci.
Vespa Sprint Carbon dijana oleh enjin ultra moden i-Get 150cc dengan sistem penyejukan udara. Enjin berkuasa 12.7hp dan tork 12.8Nm dipadankan dengan kotak gear CVT yang lancar serta menjimatkan bahan api.
Vespa mendakwa enjin itu lebih murah untuk diselenggara, senyap dan cekap. Ia juga mematuhi piawaian Euro4 Multi-Directive.
Lebih menarik lagi, Vespa Sprint Carbon kini didatangkan dengan pelbagai ciri baru seperti soket USB dan sistem brek ABS sebagai standard.
Ditawarkan pada harga RM17,400 seunit, Vespa Sprint Carbon hadir dalam warna hitam.
GALERI