
VOLKSWAGEN PERNAH CUBA HASILKAN PENCABAR MIATA 10 TAHUN DAHULU – KAT MANA DIA SEKARANG?
Mazda MX-5 Miata memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia merupakan ikon kereta sports mampu milik yang terlaris di dunia dan sebab itulah Abang Japar memang taksub habis dengan Miata ni. Banyak pengeluar lain cuba menewaskannya dengan memperkenalkan model yang serupa tetapi gagal. Volkswagen sendiri rupanya pernah mencuba tapi belum apa-apa dah angkat tangan. Model mana satu? Teruskan saja membaca.

Ia dinamakan model Concept BlueSport dan mungkin merupakan satu-satunya Volkswagen yang paling hampir untuk mengatasi Miata. Betul ke ni?
Sejarah Concept BlueSport ini bermula pada tahun 2003 di Frankfurt Motor Show di mana VW memperkenalkan Concept R baharu. Sebuah model convertible dua-tempat duduk dengan enjin mid-mounted VR6 dan transmisi klac berganda DSG.

Inilah asas kepada BlueSport dan tifa tahun selepas itu, Concept R dijelmakan kembali sebagai BlueSport dan dipamerkan kepada umum di Detroit Auto Show.
Dari sinilah model konsep menjelma menjadi realiti. BlueSport dilengkapi dengan lampu utama yang mematuhi keperluan produksi moden dan aspek keselamatan. Ia juga mempunyai nadi dan rekaan yang selaras dengan rekaan VW pada masa itu.
Dengan kata lain ia kelihatan sama kelas dengan Miata dan boleh dikatakan sebaris dengan Porsche Boxster (kira sepupulah ni).

Malangnya tiga tahun selepas model ini ditunjukkan kepada orang ramai, VW telah menghentikan penggunaan enjin VR6 untuk model-model keluaran mereka. Sedangkan enjin VR6 ni memang lasak dan mempunyai karektornya yang tersendiri.
Ia digantikan dengan enjin berkuasa turbo 2.0L empat selinder disel. Enjin baharu yang digabungkan dengan transmisi DSG merupakan kebanggaan VW pada masa itu dan mereka tidak sabar untuk menunjukkannya kepada dunia.
Pada masa itu enjin tersebut memberikan angka yang sangat baik. Penggunaan bahan api sekitar 4.27L/km dengan kuasa maksima 180 hp merupakan satu pencapaian yang sangat baik.

Sebagai perbandingan, Miata cuma mempunyai 167 hp dan jelas sekali VW mampu mengalahkan mereka di atas kertas dan di jalan raya (secara teorilah). Cuma pandangan dari sudut ekonomi semestinya berbeza. VW juga sedang berusaha membangunkan versi Audi yang akan berada dalam kelas yang sama dengan Audi TT.
Akhir sekali semestinya wang menjadi punca projek BlueSport menemui jalan buntu. Bahagian kewangan VW membuat kajian mereka sambil memakai cermin mata setebal 10 inci dan mendapati permintaan untuk model roadster dua pintu dengan enjin 4-pot memang tidak akan menjadi. Dilaporkan juga jika diteruskan VW tetap akan memperolehi keuntungan cuma mungkin tidak setinggi yang diharapkan jadi mereka mengalihkan tumpuan ke projek lain yang lebih menguntungkan. Duit jugak menang di penghujung cerita.
Skandal Dieselgate VW turut memburukkan keadaan menyebabkan model-model VW menerima tempiasnya. Lagi pun tak ramai pembeli model-model sport macam ni yang cuma mempunyai transmisi automatic. Sebab tu lah Abang Japar beli Miata manual walaupun usia dah cecah warga emas.