Motosikal

MASALAH CONROD, HONDA PANGGIL SEMULA CBR1000RR-R 2020

Honda dilapor akan memanggil semula superbike CBR1000RR-R tahun 2020 kerana ia mungkin mengalami masalah pada bahagian conrod. 

Pengeluar motosikal itu menyatakan panggilan semula dibuat sebagai langkah berjaga-jaga untuk membaiki isu yang mungkin timbul pada rod penyambung (conrod) di dalam enjin in-line four jentera terbabit.

Menurut Honda lagi, setakat ini belum ada motosikal yang terjejas akibat kegagalan alat ganti berkenaan. 

Conrod berkenaan mungkin mengalami kecacatan pelogaman (metallurgical) yang membuatkan ramai beranggapan pembekal Honda menghasilkan conrod yang tidak sempurna.

Kempen panggilan semula itu akan menyebabkan kelewatan penyerahan kepada pelanggan di Eropah. Pasaran lain bagaimanapun tidak terjejas. 

Ia bakal melibatkan 300 unit CBR1000RR-R. Kelewatan penghantaran selama satu atau dua minggu ke pasaran lain adalah disebabkan kilang Honda di Jepun yang tidak dapat beroperasi akibat penularan wabak COVID-19. 

Panggilan semula itu pasti menjejaskan reputasi jentera terbaharu Honda yang disifatkan sebagai model Fireblade paling berkuasa dan canggih.

Keupayaannya diserlahkan lagi menerusi penggunaan suspensi terbaik daripada Ohlins. Ia merupakan motosikal trek terbaik yang boleh digunakan di atas jalan raya di dunia sekarang.

Google ads
Back to top button