Buletin

BANJIR: PROTON UMUM DISKAUN 50 % ALAT GANTI. TUNDA, PEMBERSIHAN LUAR DAN RUANG ENJIN PERCUMA

PROTON mengumumkan pakej bantuan pelanggan yang dipertingkatkan bagi meringankan beban kewangan mereka terjejas akibat banjir.

Butiran pakej baharu itu adalah seperti berikut:

• Diskaun sebanyak 50% bagi alat ganti terpilih untuk semua model kecuali Proton X50 & Proton X70

• Servis tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma

Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata PROTON amat bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan B40.

“Sehingga kini, lebih kurang 600 kenderaan telah diterima oleh pusat servis Proton dan kami menjangkakan banyak lagi unit akan tiba pada hari dan minggu yang akan datang.

“Justeru, pihak syarikat telah mengambil keputusan untuk meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan pemilik Proton X50 dan Proton X70, diskaun untuk alat ganti terpilih telah dinaikkan kepada 25 peratus berbanding 20 peratus yang telah diumumkan sebelum ini.

Roslan menambah, diskaun sebanyak 25 peratus juga akan diberikan bagi caj buruh untuk semua model.

“Tawaran bantuan ini boleh didapati di pengedar 3S/4S Proton terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat.

“Sebagai tambahan, pelanggan yang diinsuranskan bawah Program Insurans Proton (PIP) layak menerima bayaran bantuan banjir sebanyak RM1,000.

Selain pakej bantuan, beliau berkata PROTON juga akan berunding dengan pihak bank untuk membenarkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran melalui kad kredit bagi pembayaran bil.

Roslan menambah, kemudahan itu bermakna mereka tidak akan dikenakan bayaran faedah serta tidak perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian pelanggan PROTON di 1-800-88-8398.

Google ads
Back to top button