WRC2 2024 - INILAH DIA SENARAI PENCABAR MUSIM INI
Saingan perlumbaan FIA World Rally Championship (WRC) bagi musim 2024 akan bermula pada minggu hadapan. Selain daripada kelas utama, saingan kelas WRC2 juga tidak kurang hebatnya dengan barisan pemandu dan juga jentera yang hebat. Yang pasti, di hujung saingan musim ini, akan muncul juara baharu bagi kelas WRC2 ini. Jom kita lihat siapakah pencabar utama musim ini.
Oliver Solberg
Pemandu muda dari Sweden yang akan berusia 23 tahun pada September nanti dilihat sebagai calon kegemaran untuk merangkul kejuaraan WRC2 pada musim ini, apatah lagi beliau berjaya mempamerkan prestasi pemanduan yang hebat dan juga laju. Musim ini, Oliver Solberg sekali lagi akan memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2 bersama pasukan Toksport.
Gus Greensmith
Pemandu dari Britain ini mempamerkan aksi yang cemerlang pada musim lalu apabila berjaya menduduki tempat kedua keseluruhan bagi kelas WRC2 dibelakang juara Andreas Mikkelsen. Untuk meneruskan aksi, pemandu berusia 27 tahun ini akan terus kekal bersama pasukan Toksport dengan memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2. Dengan memiliki jentera hebat, sudah pastinya pasukan Toksport dilihat sebagai pasukan yang cukup bagus apabila dapat membariskan dua pemandu yang hebat untuk merebut kejuaraan WRC2
Yohan Rossel
Pemandu dari Perancis yang memandu jentera Citroen C3 Rally2 ini juga dilihat antara pencabar utama saingan musim ini. Musim lalu Yohan Rossel berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan walau pun hanya memandu jentera yang dilihat agak lama berbanding jentera Rally2 lain yang lebih moden. Pun begitu musim lalu, beliau masih berbangga apabila berjaya muncul juara dua kali serta satu kemenangan podium.
Sami Pajari
Pemandu muda dari Finland ini berjaya mencipta kejutan musim lalu apabila menang di bumi sendiri Finland. Bekas juara bagi kategori Junior WRC 2021, musim lalu beliau turut beberapa kali mendapat podium. Dan musim ini, beliau yang akan memandu jentera serba baharu, Toyota GR Yaris Rally2 pastinya dilihat sebagai pencabar yang kuat untuk merebut kejuaraan.
Pierre-Louis Loubet
Bekas pemandu utama M-Sport Ford ini akhirnya akur untuk turun pangkat seketika untuk kembali beraksi dalam kelas ini setelah kehilangan kerusi pemandu. Untuk rekod, pemandu dari Perancis berusia 28 tahun inip pernah beliau memenangi kejuaraan WRC2 pada tahun 2019. Untuk aksi musim ini, beliau akan menyertai pasukan Toksport dengan kembali memandu jentera Skoda setelah melakukannya kali terakhir pada tahun 2019. Mungkin tuah 2019 akan berulang kembali.