Motosikal

YAMAHA MT-09 CBU – RM56,000

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) memperkenalkan motosikal berkuasa tinggi terbaharunya, Yamaha MT-09 semalam. 

Yamaha-MT-09-mekanika (13)

Pengenalan Yamaha MT-09 dilihat tepat pada masanya berikutan pasaran motosikal berkuasa tinggi (250cc ke atas) mengalami pertumbuhan memberangsangkan. Tahun lalu, ia meningkat sebanyak 50 peratus dengan jualan mencecah 13,912 unit berbanding 9,728 unit pada tahun sebelumnya.  Peningkatan sebanyak tujuh peratus juga dicatatkan dalam empat bulan pertama tahun ini.

Kerancakan ini dilihat bermula pada tahun 2011 apabila semakin banyak pengeluar menawarkan model-model menarik dengan harga berpatutan. Di samping wujudnya kemudahan pinjaman daripada syarikat-syarikat kewangan.

Yamaha-MT-09-mekanika (7)

HLYM mula menawarkan motosikal berkuasa tinggi kepada pengguna menerusi model Yamaha XJ6 Diversion pada Jun 2011. Varian jentera itu kemudian ditambah melalui model XJ6 naked pada Januari 2013.

Sejak itu, kedua-dua jentera bersesaran 600cc tersebut mendapat sambutan hangat dengan jualan mencecah hampir 2,000 unit. Tawaran Yamaha MT-09 nyata memperlihatkan kesungguhan HLYM untuk menjadi pemain yang lebih signifikan dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi tempatan.

Yamaha-MT-09-mekanika (16)

Yamaha MT-09 dikuasakan oleh unit enjin empat lejang, tiga silinder bersesaran 850cc dengan sistem penyejukan cecair dan pancitan bahan api. Ia berupaya menghasilkan kuasa 84.6kW @ 10,000rpm dan tork maksimum 87.5Nm @ 8,500rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Yamaha-MT-09-mekanika (23)

Menurut HLYM, pihaknya akan memulakan program pemasangan tempatan CKD Yamaha MT-09 mulai suku pertama tahun depan. Lebih menarik lagi, perbezaan di antara model CBU dan CKD tidak banyak. Harganya juga masih belum dapat diputuskan. HLYM mensasarkan untuk menjual sekitar 100 unit MT-09 CKD pada tahun depan.

“Yamaha MT-09 akan menjadi model utama selepas Yamaha XJ6. Model global ini mewakili konsep serba baharu dalam rekaan motosikal sport. Malaysia juga akan menjadi negara pertama di rantau Asia Pasifik yang melaksanakan program CKD model Yamaha MT-09,” kata Pengarah Urusan HLYM, C.H. Ng.

Yamaha-MT-09-mekanika (24)

Yamaha sebelum ini tidak pernah bersaing dalam segmen motosikal berkuasa 800cc hingga 901cc. Pasaran itu lebih dikuasai oleh pengeluar motosikal dari Jepun yang lain seperti Kawasaki.

HLYM memberitahu, sasaran pelanggannya terdiri daripada mereka yang menaik taraf motosikal berkuasa 600cc dan kelompok penunggang berpengalaman. Selain  mereka yang ingin beralih daripada segmen motosikal 1,000cc.

Yamaha-MT-09-mekanika (3)

Jika berminat, anda perlu mendapatkan Yamaha MT-09 sekarang kerana jumlah yang dibawa masuk adalah terhad berikutan kekangan AP. Jentera ini boleh anda lihat secara di dekat di bilik pameran Yamaha bermula minggu depan.

Ditawarkan pada harga RM56,116 seunit (di atas jalan termasuk insurans), jaminan yang diberikan kepada model CBU ini adalah selama setahun atau perbatuan sejauh 10,000km.  Anda boleh memilih di antara tiga warna iaitu violet, oren dan kelabu.

Yamaha-MT-09-mekanika (15)

Di majlis yang sama, HLYM turut memperkenalkan minyak enjin Yamalube sintetik sepenuhnya 4T yang sesuai untuk Yamaha MT-09 dan minyak semi sintetik AT.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button