Motosikal

YAMAHA R1 & R1M 2020 DIDEDAHKAN – LEBIH POWER & AERODINAMIK!

Yamaha baru sahaja memperkenalkan model supersports R1 dan R1M generasi terkini.

Jentera itu dikatakan lebih aerodinamik, pakej elektronik yang telah ditambah baik dan talaan semula bahagian dalaman enjin untuk prestasi lebih mantap. 

Motosikal yang sangat menggiurkan itu didedahkan pada acara American WSB di litar Laguna Seca, Amerika Syarikat. 

Yamaha R1 2020 

R1 dilihat menerima gayaan yang diinspirasikan daripada MotoGP bersama skrin serta fairing yang disepadukan bersama tangki. Rekaan itu menjanjikan kecekapan aerodinamik sebanyak 5.3 peratus dan lebih selesa untuk semua penunggang. 

Selain aspek aerodinamik, fairing R1 juga lebih tegar. Terima kasih kepada penggunaan corong udara aluminium pada bahagian hadapan, serta panel titanium pada bahagian bawah ekzos. Penampilan agresif R1 diserlahkan lagi dengan penggunaan lampu utama LED baharu. 

Enjin bersesaran 998cc yang mematuhi piawaian Euro-5 itu telah disemak semula. Ia merangkumi sistem pengambilan, lengkap bersama 10 lubang pemancit bahan api Bosch untuk menawarkan sudut pancitan bahan api yang lebar dan pembakaran lebih efisien. 

Walaupun kuasanya tidak berubah iaitu 197bhp, motosikal itu menerima rocker rm dan cam lobs baharu yang menjanjikan operasi injap lebih stabil pada rpm tinggi.

Kuasa boleh diekstrak dengan pantas menerusi pendikit ride-by-wire yang ringan dan mampu memberikan kuasa lebih natural. 

Aspek pengendalian diserahkan kepada suspensi Kayaba dengan talaan redaman baharu. Di samping peredam stereng dan talaan penyerap hentak roda belakang yang telah disemak semula.

Tunggangan dipertingkatkan menerusi penggunaan tayar Bridgestone Battlax RS11 baharu dan tujuh sistem kawalan elektronik yang berfungsi bersama sistem IMU. 

Menampilkan dua mode (tetap dan talaan sendiri oleh penunggang), ia menilai data-data seperti sudut baringan dan tekanan brek hidraulik untuk menghalang masalah brek terkunci.   

Didatangkan dalam warna hitam dan biru, jentera itu dilengkapi tiga mode unit Engine Braking Management yang membolehkan penunggang mengubah suai brek enjin sama ada tinggi, sederhana atau rendah. 

R1 turut menerima sistem kawalan pelancaran yang telah dinaiktaraf. Ia kini boleh diubah suai untuk diaktifkan pada tahap 9,000rpm dan bukaan pendikit 41 darjah yang menawarkan permulaan gerak lebih pantas. Semua maklumat itu kemudian dipaparkan di skrin TFT. 

Yamaha R1M Edisi Terhad 

R1M menampilkan penambahbaikan elektronik yang sama seperti R1. Namun beratnya dikurangkan menerusi penggunaan set fairing hadapan, madgad dan bahagian belakang daripada gentian karbon. Ia juga dipasang dengan rim dan kerangka belakang yang diperbuat daripada magnesium. 

Selain lebih ringan, suspensi Kayaba diganti dengan set daripada Ohlins bersama frok elektronik NPSX gas anti-cavitator.

Penyerap hentak belakang pula menerima talaan pra-bebanan yang boleh diubah suai. R1 dan R1M dipasang dengan tangki minyak serta rim aluminium.

Hadir dalam livery perak, biru dan karbon, Yamaha ada menghasilkan sejumlah aplikasi untuk dipadankan dengan motosikal baharu ini. Aplikasi itu membolehkan penunggang membuat talaan mereka sendiri dengan lebih mudah. 

Aplikasi YRC Setting misalnya membolehkan penunggang mengawal tujuh sistem elektronik dengan beberapa kawalan boleh dimatikan sepenuhnya. Setiap R1M juga didatangkan dengan plak ukiran dengan nombor produksi yang unik. 

Bakal dilancarkan secara rasmi pada September depan, harganya dijangka bermula AS$17,399 (RM71,466) seunit. 

Google ads
Back to top button