Buletin

ZEEKR BAKAL TIBA DI PASARAN MALAYSIA

Jenama kereta elektrik di bawah Geely Automobile Holdings, Zeekr, bakal hadir ke pasaran Malaysia, sekaligus merancakkan lagi pilihan segmen kereta elektrik di Malaysia.

Perkara itu didedahkan oleh Smart Malaysia, selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat kilang Zeekr di Ningbo, China.

Tengku Zafrul juga disertai oleh delegasinya dari MITI, MIDA, Matrade, DRB-Hicom dan Proton.

Lawatan para pemimpin Malaysia ke China adalah sempena Forum Perniagaan Malaysia-China di Beijing yang dihadiri Perdana Menteri, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim.

“Delegasi itu menguji pelbagai model EV, termasuk Smart #1 dan sangat kagum dengan reka bentuk premium serta teknologi canggih kereta EV daripada Geely dan Zeekr,” memetik kenyataan Smart Malaysia di Facebook.

Perkongsian di Twitter Tengku Zafrul menunjukkan beliau memandu uji Zeekr 001. “Sempat juga saya test drive EV Zeekr 001, memang power betul pecut dia!”, kata Tengku Zafrul.

Tambah beliau lagi, “Geely menunjukkan minat bekerjasama mengguna pakai teknologi EV baru untuk Proton dan ekosistem di Malaysia,”

Selain itu, perbincangan bersama Geely berhubung strategi New Energy Vehicle (NEV) dan teknologi pintar turut diadakan semasa lawatan terbabit.

Perkembangan berkaitan, DRB-HICOM dan Geely telah memeterai dokumen Ketua Perjanjian (HOA) bagi tujuan pelaburan, mengurus dan membangunkan Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim.

Pelaburan AHTV dianggarkan bernilai RM32 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Google ads
Back to top button