Artikel Pilihan

5 BUDAYA MODIFIKASI YANG SEPATUTNYA DAH PUPUS

Dunia modifikasi ni sememangnya luas dan cukup menarik. Bila pihak pengeluar kereta berhenti pada satu tahap untuk menseimbangkan kos dan prestasi, ruang untuk modifikasi terbuka luas asal saja ia kena pada tempatnya selain meningkatkan aspek kawalan dan alunan bunyi yang sedap didengar terhasil. Styling ataupun gaya juga mesti kena pada tempatnya dan begitu juga dengan fungsi.

Apa guna letak spoiler besar gajah bunting tapi kereta bergoyang mengalahkan penari dangdut. Contohnya jentera perlumbaan yang memang dihasilkan untuk kelajuan dan bukannya suka-suka letak spoiler situ sini. Kadang-kadang modifikasi ringan seperti menukar sport rim pun dan memberikan impak yang besar pada kereta anda.

Tapi itulah, sesetengah budaya modifikasi ni memang kelakar dan sepatutnya dah pupus. Kenapa? Sebab ia memberikan pengaruh tidak baik kepada adik-adik kita yang baru belajar nak ubahsuai Axia, Myvi, Saga dan sebagainya. Ini lima pilihan budaya modifikasi yang sepatutnya dah ke laut dalam.

BOSOZOKU

Tak pernah dengar? Kalau tak pernah dengar budaya Bosozoku Jepun ini anggaplan anda memang bertuah. Namanya kalau diterjemahkan dalam Bahasa Melayu bermaksud “kumpulan yang sudah di luar kawalan”. Ia merupakan satu pecahan budaya remaja Jepun yang banyak dikaitkan dengan motosikal dan kereta. ia bermula dengan geng motosikal pada tahun 50-an dan kemudiannya berkembang dan lebih popular pada sekitar 80 dan 90-an. Sekarang pun budaya ni masih ada di Jepun.

Trend modifikasi mereka ni pun agak kelakar sebenarnya. Mana taknya, dengan spoiler setinggi tiang gol stadium Bukit Jalil, lip dan diffuser berdepa-depa panjangnya dan paip ekzos yang menjulang ke angkasa raya. Itu termasuk pilihan warna, semuanya serba terang dengan tampalan stiker ataupun airbrush cukup ekstrim. Kiranya kau nak bagitau dunia yang kau sentiasa tak puas hati. Jelas sekali ia bukan lagi seni tapi dan nampak macam kereta penjenayah dalam rancangan kartun.

Stance (juga dikenali sebagai Oni-kyan)

Warga Jepun menggelarnya oni-kyan tapi seluruh dunia memangilnya ‘stance’ ataupun lebih popular di Malaysia dengan nama ‘kangkang’. Nama pun dah buruk kan? Ia merupakan satu trend di mana kereta direndahkan semaksima mungkin sampai tayar pun dah terkangkang. Tuan punya jangan cakap la, nak keluar masuk pun mengangkang semacam. Kesian pak mertua yang nak tumpang solat Jumaat kat masjid.

Semua model kereta tidak terkecuali menjadi mangsa trend ‘kangkang’ ni ataupun nak lebih sofistikated digelar ‘Hellaflush’. Yang kesiannya bila kereta-kereta yang memang dah direka untuk prestasi dan kelajuan dimekap sampai terkangkang macam Subaru Impreza dan Ferrari. Kesian der. Sesetengahnya pula menyumbang bahaya kerana ia melibatkan pemotongan spring. Tolong la hilang cepat-cepat budaya ni.

LOWRIDERS

ini budaya yang dah terlalu tua. Pada asalnya lowrider bermaksud merendahkan kereta agar lebih rendah berbanding suspensi asal tapi budaya ini kian berkembang dengan penggunaan suspensi hidraulik yang mampu membuatkan kereta ini menari, merendahkan setiap sudut secara berasingan dan melompat-lompat macam kera kena syabu.

Kesian bila sesetengah kereta terloncat-loncat di lampu isyarat. Itu memang dah lari dari tujuan asal ia direka. Kalau bini kirim beli telur kat pasaraya memang balik kena bambu la kau Labu.

BACA: SAKSIKAN BUDAYA MODIFIKASI JEPUN YANG EKSTRIM DAN UNIK (+VIDEO)

Hi-Risers/Donk

ini pula budaya yang hampir sama dengan Lowriders tetapi terbalik. Tadi direndahkan tapi yang ni ditinggikan. Kalau pikap ataupun SUV tak apa la jugak. Ini kereta sedan dibantainya. Ia diangkat setinggi mungkin dan biasanya dilengkapkan dengan rim-rim krom bersaiz besar.

Pelengkapnya mestilah sistem bunyi yang gedebum-gedebum. Ia memang bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tapi anda rasa siapa yang peduli. Rasanya semua yang tengok memang kaw-kaw mengutuk.’

RICE

Ia bukan bermaksud nasi tapi dikatakan kependekkan daripada Race Inspired Cosmetic Extras. Dengan kata lain mekap yang diinspirasi dari dunia perlumbaan. Ayat kasarnya adalah seperti modifikasi yang dilakukan oleh budak-budak baru nak naik tapi harap tak pernah pergi ke litar lumba. Litar lumba pun tak tau kat mana.

Antara ciri modifikasi ini ialah spoiler besar (kecik sikit dari Bosozoku), ruang kemasukan udara atas bawah, puluhan pelekat ala perlumbaan, bodykit, klip bonet, towing strap dan macam-macam lagi yang biasanya boleh dilihat pada jentera perlumbaan. Itu belum termasuk ‘lampu kalimantang’ berwarna pada bahagian bawah badan kereta. sekali tengok dari jauh macam kedai tom yam rupanya kereta anak jiran aku. Ini mungkin salah Fast and Furious tapi mujurlah selepas siri kelima dah tak ada dah modifikasi macam ni.

Kredit Carbuzz.com

 

Tags
Google ads
Back to top button