Stail

NAZIM SEIRING STAIL & BAKAT

BERSAMA jentera Subaru Forester yang dipadankan untuk fotografi bersamanya, pelakon Nazim Othman nampak begitu selesa. Sambil bertanya tentang harga pasaran serta kemampuan pacuan kereta berkenaan, dia melihat-lihat ruang duduk pemandu dan penumpang, menutup pintu dan terus ke belakang memeriksa ruang menyimpan barang. 

nazim + Subaru Forester (21)
“Saya memang sukakan model kereta sebegini. Saya tak perlukan sebuah kereta mewah. Tetapi cukup sebuah kereta yang sesuai dengan cita rasa, dalam masa yang sama ada ruang simpanannya agak besar.

“Dalam kereta saya, bonet belakang sahaja penuh dengan kasut. Semuanya untuk kegunaan semasa penggambaran. Ibaratnya berumah kedua dalam kereta,” ujar Nazim yang memandu Hyundai Tucson sejak dua tahun lalu.

nazim + Subaru Forester (19)

Bercakap tentang kariernya, pelakon yang bergerak sendiri, tanpa pengurus mahupun pembantu peribadi itu selesa memutuskan sendiri setiap percaturan langkahnya.

“Lagipun saya seorang yang agak garang. Kalau saya lantik orang yang tidak arif tentang saya, masaklah nanti dia marah sepanjang masa,” ujarnya sambil membetulkan tali leher kupu-kupu yang menjadi aksesori wajibnya ketika ini.

nazim + Subaru Forester (1)

Nazim memang seorang lelaki penuh stail. Lihatlah penampilannya, walau dalam cuaca panas terik, dia tidak kisah menyalut badannya dengan kemeja dan jaket. Acap kali juga dia digelar sebagai pengikut imej Kpop.

“Nak kata Kpop ke Korea ke, katalah, saya sudah lali dengan apa sahaja kata-kata orang. Janji saya selesa dengan rasa yakin dengan imej sebegitu, saya okey.

nazim + Subaru Forester (10)

“Macam dalam lakonan juga, dahulu saya kaku dan kekok berdepan kamera. Rasanya selepas dua tiga tahun dalam industri barulah saya berani meluahkan ekspresi. Begitu dengan fesyen, dahulu saya agak comot dan cara penampilan pun agak huru-hara. Sekarang, rasanya kedua-dua aspek itu berjalan seiring,” ujar Nazim yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri berjudul Kalimah Jiwa arahan Erma Fatima.

Bercerita lanjut tentang kelangsungan lakonannya, Nazim juga bakal terbang ke New Zealand dan Korea Selatan sekitar Disember nanti untuk penggambaran dua buah drama di sana.

nazim + Subaru Forester (26)

“Saya akan ke New Zealand untuk menyempurnakan tuntutan watak dalam drama Kalimah Jiwa. Di Korea Selatan pula, saya akan menjalani penggambaran drama bertajuk Gerimis Salju Naminara. Memang bekulah nanti saya di sana. Saya juga dijadual menjalani penggambaran di Pulau Nami,” katanya yang awal-awal lagi sudah diberi isyarat untuk melaram fesyen musim sejuk persis hero Winter Sonata dalam drama berkenaan.

Memiliki ketinggian 178 sentimeter dengan berat badan hanya 67 kilogram, sosoknya molek untuk menyarungkan apa jenis pakaian ke badan. Minat terhadap fesyen serta bijak bergaya, Nazim kini terdorong untuk membuka butik pakaian sendiri.

nazim + Subaru Forester (20)

“Idea itu diilhamkan oleh seorang sahabat yang kenal sangat dengan sikap saya. Tahun depan usia saya 30 tahun, jadi saya kena fikirkan sesuatu. Butik pakaian itu salah satu daripada agenda besar saya. Setakat ini sudah banyak koleksi yang dikumpul dan pakaian-pakaian itu bukanlah hasil rekaan saya sebaliknya stok yang saya peroleh dari luar negara.

“Ia dipilih berdasarkan cita rasa dan apa yang saya rasakan sesuai dengan kelompok pelanggan sasar,” jelas Nazim yang turut obses mengumpul koleksi kasut daripada pelbagai jenis dan warna termasuklah kasut pejabat, loafer dan but.

slider dlm

Menghampiri usia 30-an juga membuatkan Nazim semakin berani untuk melebarkan sayap seni. Terkini jurucakap jam Ellesse dan aplikasi kiriman mesej Line itu sedang merancang untuk tampil sebagai penyanyi. Dalam masa terdekat dia bakal menyiapkan sebuah klip video untuk single bertajuk Destinasi.

“Sebelum ini saya pernah rakam lagu, tapi lagu itu hanya untuk runut bunyi drama sahaja. Habis drama, lagu itu pun habis begitu sahaja. Sekarang ada sebuah lagu berjudul Destinasi. Kali ini saya serius, biarlah orang kata saya tidak boleh menyanyi yang penting saya mencuba,” kata Nazim penuh misi.

[hr] Oleh TQ SUZZ ANNA ARHEJ ([email protected])

Foto:  Nizam Zainuddin (The Puteh Production KL Photography)

[hr] Galeri 

IMG_4917IMG_4898IMG_4901nazim + Subaru Forester (11)nazim + Subaru Forester (12)nazim + Subaru Forester (13)nazim + Subaru Forester (14)nazim + Subaru Forester (15)nazim + Subaru Forester (17)nazim + Subaru Forester (18)slider dlm 2nazim + Subaru Forester (21)nazim + Subaru Forester (23) nazim + Subaru Forester (22)nazim + Subaru Forester (23)nazim + Subaru Forester (24)nazim + Subaru Forester (27)nazim + Subaru Forester (25)nazim + Subaru Forester (29)nazim + Subaru Forester (30)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Check Also
Close
Back to top button