Motosikal

AGRESIF KTM DUKE 690 R

Sejujurnya, saya mempunyai pandangan bahawa kebanyakan pemilik motosikal  KTM adalah mereka yang agresif dan boleh dipanggil ‘budak-budak jahat’.

KTM-Duke-690-R-mekanika (2)

Sudah tentu, cara menunggang bergantung kepada individu. Tetapi selepas berpeluang menunggang Duke 690 R selama dua minggu, saya boleh katakan, itulah caranya untuk mendapatkan tunggangan yang optimum.

Cuba bayangkan, adakah anda suka menunggang motosikal yang tersengguk-sengguk? Saya rasa tidak. Namun, itulah yang terjadi sekiranya anda cuba bergerak santai menunggang motosikal ini di bawah 3,000rpm.

KTM-Duke-690-R-mekanika (13)

Enjin satu silinder berkapasiti 690cc pada Duke 690 R tidak begitu gemar berada dalam kitaran rpm rendah, sebaliknya hanya mahu dikerah secara keras. Selepas itu barulah anda akan merasa kenikmatannya.

Berasal dari Austria, KTM memang terkenal dengan penghasilan jentera motocross dan lasak. Berbeza dengan Duke 690R, ia lebih tertumpu pada jalan biasa. Namun begitu, pengaruh jentera motocross tetap ada pada Duke 690 R.

KTM-Duke-690-R-mekanika (16)

Ini kerana kedudukan motosikal ini adalah tegak, mempunyai hendal yang tinggi, ringan dan dipadankan dengan enjin berkuasa. Kombinasi elemen itu menghasilkan sebuah motosikal yang seronok ditunggang. Sekurang-kurangnya bagi mereka yang mengetahui caranya.

Anda tidak boleh santai atau berat tulang, sebaliknya kena aktif. Jika anda menunggang motosikal ini setiap hari, saya percaya anda tidak perlu pergi ke gim untuk kekal sihat. Ia hampir sama seperti bersenam.

KTM-Duke-690-R-mekanika (11)

Menurut KTM, enjin yang digunakan pada Duke 690R ialah enjin satu silinder paling berkuasa di dunia. Apa yang boleh saya katakan, kuasanya memang terasa. Jika dipulas habis untuk tarikan maksimum pada gear 1 dan 2, dengan mudah tayar hadapan akan terangkat dan memerlukan lebih kawalan.

Jika di laluan bandar, kuasa sebegini sudah lebih daripada mencukupi. Jadi, apa yang diperlukan untuk memastikan keselamatan penunggang serta pengguna jalan raya lain adalah brek yang berkuasa. Untuk Duke 690R, ini tidak menjadi masalah kerana ia dilengkapi angkup Brembo empat piston di hadapan dan piston tunggal di belakang.

KTM-Duke-690-R-mekanika (12)

Sebagai tambahan, sistem brek jentera ini turut dilengkapi ABS. Jadi, apabila keadaan yang tidak dijangka berlaku, keselamatan penunggang masih mempunyai jaminan tambahan yang dapat mengelak tayar belakang daripada terkunci apabila brek ditarik secara mengejut.

Walaupun begitu, ada sesetengah penunggang yang tidak menggemari sistem ABS. Sebabnya, mereka mahu tayar belakang terkunci secara sengaja bagi menghasilkan gelinciran dan kurang selesa dengan campur tangan sistem tersebut. Mujur juga pada Duke 690 R, sistem ABS itu boleh dinyahaktifkan dengan menekan butang pada bahagian panel meter.

KTM-Duke-690-R-mekanika (6)

Menunggang motosikal ini, saya lebih cenderung untuk memilih jalan-jalan lama dan bukannya lebuh raya yang luas terbuka. Ini kerana apabila berada pada kelajuan tinggi atas lebuh raya, sekitar 160km/j, rintangan angin menjadi begitu kuat.

Seperti yang boleh dilihat, Duke 690R ialah sebuah motosikal yang ringkas. Ia tidak mempunyai banyak penghadang yang boleh membantu penunggang. Sebaliknya, apabila melalui jalan-jalan lama, terutama yang mempunyai banyak selekoh, Duke 690 R sangat cemerlang. Gabungan suspensi WP, tayar mencengkam dan badan ringan, ia bagaikan sentiasa bersedia untuk menyerang setiap selekoh.

KTM-Duke-690-R-mekanika (1)

Sejujurnya, saya pernah menunggang Duke 690 standard sebelum ini dan tidak begitu menggemarinya. Tetapi versi R yang dilengkapi peralatan prestasi seperti ekzos Akrapovic, brek ABS Brembo, tempat duduk Powerparts, suspensi WP dan bermacam-macam lagi ini begitu ‘menusuk’, sehinggakan tercetus rasa ingin memilikinya.

Melihat kepada harganya, KTM Duke 690 R berhadapan dengan cabaran yang getir daripada model-model dari jenama lain. Namun, motosikal ini mempunyai tarikan yang unik dan tersendiri. Jika serasi, anda tidak akan memandang model lain.
[hr] SPESIFIKASI KTM DUKE 690 R

Enjin: 690cc, satu silinder, empat lejang, penyejuk cecair

Transmisi: Enam kelajuan

Kuasa maksimum: 70hp @ 7,000rpm

Tork maksimum: 70Nm @ 5,500rpm

Kapasiti tangki: 14 liter

Brek hadapan: cakera terapung 320mm dan angkup Brembo empat piston dengan ABS

Brek belakang: cakera 240mm dan angkup piston tunggal, ABS

Berat: 149.5kg

Harga: RM52,500 (tanpa insurans)
[hr]GALERI

KTM-Duke-690-R-mekanika (3)KTM-Duke-690-R-mekanika (4)KTM-Duke-690-R-mekanika (5)KTM-Duke-690-R-mekanika (7)KTM-Duke-690-R-mekanika (15)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button