Artikel Pilihan

APAKAH PERBEZAAN ANTARA ENJIN DOHC DAN SOHC DAN APAKAH KELEBIHANNYA??

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa perlu ada dua jenis konstruksi kepala selinder dalam enjin selinder OHC (Overhead Camshaft). Kalau dilihat pada peralihan teknologi overhead valve kepada overhead camshaft, banyak pembaharuan yang telah dilakukan dari zaman karburetor sehingga ke penyuntik bahanapi dengan komputer yang lebih kompleks.

Pengeluar biasanya memilih jenis rekaan enjin berdasarkan kos rekaan dan pembuatan selain keperluan khusus. Contohnya jika enjin tersebut digunakan pada kenderaan berprestasi tinggi, mereka lazimnya memilih enjin DOHC. SOHC lebih ke arah pemanduan yang lebih santai serta mengutamakan penjimatan bahan api.

Apakah perbezaan antara enjin DOHC dan SOHC? Apa kebaikannya dan apa pula kekurangannya?

DOHC ataupun Double Over Head Cam adalah sejenis rekaan enjin yang mempunyai dua aci sesondol (camshaft) yang gunanya untuk mengawal injap kemasukan dan injap ekzos . Enjin jenis ini juga biasanya mempunyai empat injap, dua injap kemasukan dan dua lagi injap ekzos ada setiap silinder. Namun ada juga enjin moden seperti yang diperkenalkan seperti Volkswagen-Audi Group yang menggunakan lima injap untuk setiap silinder, tiga injap kemasukan dan dua injap ekzos.

SOHC pula bermaksud Single Over Head Cam (hanya satu aci sesondol sahaja yang mengawal injap kemasukan dan injap ekzos). Bagi enjin jenis ini juga, jumlah injapnya hanya dua sahaja iaitu injap kemasukan dan injap ekzos bagi setiap silinder. Namun kini ada juga enjin yang menggunakan empat injap bergantung pada rekaan aci sesondolnya.

Camshaft ataupun aci sesondol merujuk kepada batang rod yang mempunyai lekukan dan benjolan yang tugasnya adalah untuk membuka dan menutup injap kemasukan dan juga ekzos berdasarkan keperluan pada masa yang tepat agar enjin boleh berfungsi dengan lancar.

Kebaikan menggunakan lebih banyak injap ialah kerana ianya akan menjadi lebih ringan berikutan saiznya yang lebih kecil. Jika menggunakan injap tunggal ia biasanya bersaiz lebih besar dan lebih berat jadi daya yang diperlukan untuk menggerakannya juga menjadi lebih tinggi.

Jika perbandingan dari segi prestasi dilakukan, kita akan dapati yang enjin SOHC menghasilkan kuasa yang kurang sedikit berbanding dengan enjin DOHC tetapi ia memberikan lonjakan kuasa yang awal dan lebih fleksibel. Pada masa yang sama juga ia agak ekonomikal.

Enjin DOHC pula mampu berputar dengan lebih laju dan kuat, kuasanya semakin bertambah pada peringkat pertengahan dan penghujung sehingga mampu menghasilkan lebih banyak kuasa walaupun mempunyai sesaran yang sama dengan enjin SOHC. Ini menjadikannya enjin yang lebih ideal untuk prestasi dan juga perlumbaan.

Secara teknikal, enjin SOHC adalah lebih murah dan tidak begitu rumit untuk direka, dihasilkan dan diselenggara kerana ia tidak mempunyai bahagian bergerak yang banyak. Enjin DOHC pula adalah lebih kompleks untuk dihasilkan kerana mempunyai komponen bergerak yang lebih banyak. Semakin banyak injap yang ada semakin kompleks pula struktur sesebuah enjin itu.

Satu lagi kelebihan enjin DOHC berbanding enjin SOHC ialah ia mempunyai injap-injap kemasukan dan ekzos yang sekali ganda lebih banyak berbanding dengan enjin SOHC. Ini menjadikan enjin beroperasi dalam suhu yang lebih sejuk, senyap dan cukup efisyen. Tetapi pada masa yang sama kos pembaikian enjin ini adalah lebih tinggi biasanya.

Selain daripada itu, pada enjin DOHC, palam pencucuh boleh diletakkan di bahagian tengah kebuk pembakaran yang merupakan posisi terbaik berbanding enjin SOHC di mana kedudukan palam pencucuh adalah agak senget ke bahagian sisi.

Jika dilihat secara keseluruhan, kepala selinder DOHC dan SOHC tetap mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Setiap pengeluar mempunyai rangkaian enjin tertentu untuk produk khusus. Boleh saja 2 enjin yang sama mempunyai konfigurasi SOHC dan DOHC, seperti zaman awal pembangunan 4G92 misalnya.

Ia bergantung kepada teknologi dan produk yang hendak dipasangkan.

BACA: BUANG TERMOSTAT ADALAH PERBUATAN SALAH

BACA: TREND ENJIN KECIL BAKAL BERAKHIR

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button