Artikel Pilihan

BUANG TERMOSTAT DARI ENJIN – IA BUKAN PENYELESAIAN JANGKA PANJANG

Membuang termostat merupakan satu langkah yang cukup popular bagi mekanik bawah pokok untuk menyelesaikan masalah kepanasan (overheating) pada enjin kenderaan. Ia bertujuan untuk memastikan enjin lebih sejuk ketika beroperasi. Persoalannya, adakah ini satu langkah yang bijak?

Mari kita tengok dulu apakah kegunaan termostat sebelum membuat keputusan.

Termostat dipasang pada enjin kereta dan mempunyai satu tugas khusus iaitu: mengawal aliran cecair penyejuk di dalam enjin. Semua enjin direka dengan untuk beroperasi pada lingkungan suhu tertentu dan termostat yang dipasang memastikan keadaan suhu adalah sentiasa dalam linkungan operasi enjin tersebut.

Jika enjin dalam keadaan sejuk, injap termostat akan ditutup untuk menghalang cecair penyejuk memasuki enjin lantas mempercepatkan proses pemanasan. Bila enjin sudah mulai panas, injap termostat akan dibuka untuk membenarkan cecair tersebut masuk dan menyejukkan enjin atau lebih tepatnya, memastikanya pada kadar suhu operasi.

Lihat bagaimana thermostat berfungsi – kredit foto agcauto.com

Fungsi termostat sebenarnya amat penting untuk menjamin prestasi enjin. Enjin yang terlalu sejuk ataupun terlalu panas akan menyebabkan anda membazirkan petrol, kehilangan kuasa dan mempercepatkan kehausan sesetengah komponen.

Ia mempunyai fungsi yang lebih sekadar injap masuk cecair penyejuk. Ia memastikan aliran pusingan cecair ke radiator (circulation) di kawal mengikut suhu. Suhu ini juga menghantar isyarat kepada ECU dan ECU pula menghantar isyarat campuran bahanbakar pada ruang enjin. Suhu juga mempengaruhi tahap iding (ketika sejuk) dan masa pembakaran (iginition timing). Banyak kan kerja dia?

MITOS BILA TERMOSTAT DIKELUARKAN:

1. MENINGKATKAN PRESTASI

Seperti kami sebutkan di atas, setiap enjin direka untuk berfungsi pada lingkungan suhu tertentu. Jika ia terpaksa berfungsi di luar lingkungan tersebut termasuk dalam keadaan enjin yang sejuk, prestasinya akan terjejas berbanding sebelumnya.

Ia tidak meningkatkan prestasi pun. Melainkan kereta anda dipandu dalam trek setiap hari. Pun begitu, kereta-kereta litar ini juga masih menggunakan termostat aftermarket. Juga dikenali sebagai Low Temperatur Thermostat, ia masih sebuah termostat yang sama fungsinya seperti peralatan OEM, cuma injapnya dibuka lebih pada suhu berbeza.

Tapi kalau kereta anda Myvi dengan perbatuan 200,000km digunakan untuk ulang alik ke pejabat, jangan memandai buang termostat.

2. MENYELESAIKAN MASALAH OVERHEATING

BETUL. Sebab sebab secara teorinya, cecair penyejuk akan sentiasa berada dalam dinding blok pembakaran (water jacket).  Masalah overheating timbul atas berbagai faktor, antaranya termostat yang rosak.

Termostat boleh menyebabkan kepanasan melampau jika injapnya tidak terbuka (rosak), tetapi membuangnya terus tanpa menggantikannya kembali bukannya satu langkah bijak.

Mekanik yang mahir boleh menguji termostat untuk memastikan sama ada ia rosak ataupun ada masalah lain. Jika ia memang rosak, anda mesti menggantikannya dengan unit baharu yang mempunyai spesifikasi yang sama dengan unit asal (injap terbuka pada suhu yang sama) untuk memastikan enjin mampu berfungsi dengan baik.

Membuang terus termostat mungkin menyelesaikan masalah overheating tetapi memendekkan jangkahayat peralatan sekunder yang lain seperti radiator dan pam air (waterpump)

3. TERMOSTAT TAK PERLU SEBAB SAYA TINGGAL DI NEGARA PANAS

Termostat sentiasa diperlukan tidak kira di mana anda tinggal, hatta di platet Marikh sekalipun. Walaupun cuaca di tempat kita sentiasa panas pada siang hari, keadaan suhu di waktu malam semestinya berbeza.

Malah kereta-kereta moden dengan sistem komputer dalaman yang canggih akan sentiasa mengawasi keseluruhan operasi enjin kereta. Membuang terus termostat ataupun menggunakan termostat dengan spesifikasi yang salah akan mengakibatkan isyarat yang salah dihantar kepada sistem komputer tersebut.

Dalam keadaan normal, sistem komputer ataupun ECU kereta akan menyesuaikan sistem kereta berdasarkan maklumat yang salah ini dan sekaligus menjejaskan prestasi enjin kereta.

Jika komputer mendapati suhu enjin dalam keadaan sejuk, ia akan menambahkan lagi  campuran udara dan petrol untuk membantu pembakaran. Hasilnya ialah kereta akan menggunakan lebih banyak petrol berbanding biasa.

GUNAKAN LOGIK AKAL SEBELUM MEMBUANGNYA

Tanya kembali diri anda, jika termostat itu tidak penting, kenapa pihak pengeluar bersusah payah memasangnya pada enjin kereta? Pihak pengeluar akan melakukan apa sahaja untuk menjimatkan kos pengeluaran dan memaksimakan keuntungan (faham tak ni?).

Jika mereka masih memasangnya ia bererti alat tersebut memang cukup penting kerana jika berlaku sebarang kerosakan di kemudian hari akibat ketiadaan alat tersebut, pengeluar harus menanggung akibatnya.

Dalam hal termostat tadi, jika ia memang rosak, gantikan sahaja dengan unit baharu dengan spesifikasi yang sama. Jangan membuangnya terus dalam membiarkan enjin anda beroperasi tanpa termostat.

Enjin yang sentiasa sejuk bukan bermakna makin power, makin lemau lagi ada lah.

BACA: 7 TIPS PENJAGAAN BATERI YANG BETUL

BACA: TANDA-TANDA PALAM PENCUCUH PERLU DIGANTI

BACA: SIMPTOM ALTERNATOR DI PENGHUJUNG HAYAT

BACA: TANDA AWAL KEROSAKAN RADIATOR

Google ads
Back to top button