
BERMAZ LANCAR MAZDA CX-30 CKD. 4 VARIAN, 2WD, 162HP/213NM, BERMULA RM128K
Bermaz Motor Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan bahawa Mazda CX-30 2023 kini sudah dibuka untuk tempahan. Ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) ketiga yang dipasang di kilang di Kulim, Kedah selepas CX-5 dan CX-8.
Dibina berasaskan kepada bahasa rekaan “Charge and Release” daripada kaligrafi Jepun, konsep itu berakar umbi dalam elemen falsafah reka bentuk Kodo – Soul of Motion.
Berbeza dengan model CBU, CX-30 CKD tidak ditawarkan dengan varian Ignite Edition, AWD dan enjin diesel. Dengan pra-tempahan sudahpun bermula pada 16 Februari lalu, penyerahan pertama dijangka bermula pada akhir bulan ini.
CX-30 CKD ditawarkan dalam empat varian dan harga (OTR tidak termasuk insurans) adalah seperti berikut:
- Mazda CX-30 2.0L 2WD STD – RM128,109
- Mazda CX-30 2.0L 2WD High – RM136,109
- Mazda CX-30 2.0L 2WD High+ – RM146,109
- Mazda CX-30 2.0L 2WD High+ Premium – RM156,109

Jentera itu menggunakan enjin yang sama untuk semua varian iaitu SKYACTIV-G 2.0L. Mampu menjana kuasa mencecah 162hp pada 6,000rpm dan tork 213Nm, kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan dengan mode manual shift.
Rangkaian kuasa itu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 6.4 liter bagi setiap 100km. Sebagai sebuah Mazda, anda tidak perlu ragu tentang dinamik pengendaliannya. Aspek itu dipersembahkan dengan cemerlang melalui gabungan suspensi jenis topang MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.
CX-30 kini dilengkapi paparan infohibur bersaiz 8.8 inci yang mudah dikawal menerusi dial kawalan Commander pada konsol tengah.

Ia boleh disambungkan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Pengalaman mendengar muzik pula ditingkat melalui sistem bunyi 3-way yang turut merangkumi lapan pembesar suara dan satu unit subwoofer.
Keselesaan ketika berada di dalam CX-30 disumbangkan oleh ciri-ciri seperti G-Vectoring Plus, pengilap cermin dengan pengesan hujan, kemasukan tanpa kunci pintar dan paparan pemanduan aktif yang hadir sebagai ciri standard.
Crossover ini boleh menjadi sebuah kenderaan keluarga yang praktikal kerana ia manwarkan ruang kargo seluas 430 liter. Jika mahu ruang lebih luas, lipat sahaja tempat duduk belakang dengan konfigurasi 60:40.

Dari segi keselamatan, CX-30 dipasang dengan teknologi i-Activesense seperti Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS), Lane-Keep Assist System (LAS), Driver Attention Alert (DAA), Smart Brake Support (SBS), Mazda Radar Cruise Control dengan fungsi Stop & Go (MRCC) sebagai ciri standard untuk varian High+ serta High+ Premium.
Dua varian yang paling tinggi itu juga menerima ciri Adaptive LED Headlamps (ALH), Front Cross Traffic Alert (FCTA), Driver Attention Alert (DAA) dengan Driver Monitoring (DM) dan Cruising & Traffic Support (CTS).

Crossover berkenaan didatangkan dalam tujuh warna menarik termasuklah kelabu, merah, biru, platinum, putih mutiara dan hitam. Ia hadir bersama jaminan dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun dengan had perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
- BACA: MAZDA CX-30 2.5 TURBO! 250 HP 434 NM
- BACA: PANDU UJI: MAZDA CX-30 CROSSOVER ORANG MUDA
- BACA: MAZDA NAK BUAT BANYAK SUV: CX-50, CX-60, CX-70, CX-80, CX-90!
- BACA: DOSA MAZDA IALAH MENAMAKAN REKAAN MEREKA SEBAGAI TORSION BEAM.
GALERI








