BMW E30 JDM 325i LHD
Masa mula-mula pergi ke Jepun dulu, saya hairan juga bila tengok pondok tol di sana ada dua sisi, satu kiri dan satu kanan.
BACA – BMW E34 525 CONVERT M5
BACA – BMW E30 M3 UNTUK DILELONG
Apabila berjalan-jalan di tengah bandar, rupa-rupanya kereta pemanduan sebelah kiri (Left Hand Drive, LHD) bukanlah perkara asing di sana. Tidak ada halangan untuk mengimport masuk kereta LHD.
Saya bercakap mengenai pasaran Jepun dan LHD bukannya kereta terpakai. Kalau di Malaysia kereta LHD biasanya dibawa balik dari Eropah atau Amerika, di Jepun pemiliknya memang tempah kereta baru dengan panduan sebelah kiri. Saja-saja je yop!
Kereta LHD tidaklah sengal sangat jika dipandu di Jepun. Tapi bayangkan macam mana kereta begitu dipandu di Malaysia. Maksud saya, kereta spesifikasi Jepun, tapi stereng sebelah kiri.
Itu memang jarang sangat berlaku. Pemegang AP tak cukup biol nak bawa masuk spesifikasi begini kerana pasarannya terlalu kecil. Ibarat bawa masuk Mercedes moden dengan transmisi manual.
Model E30 ini adalah salah satu contoh yang saya jumpa. Pemiliknya datang dari Puchong. Model E30 M40 jarang ditemui dalam keadaan yang baik begini. Kata tuannya, kereta yang sudah berusia lebih 23 tahun ini tidak banyak berjalan sebenarnya.
Ia milik seorang expat dari Jepun yang pernah berkhidmat di salah sebuah syarikat konglomerat di Kuala Lumpur pada tahun 1994. Bayangkan masa tahun 1994 dulu berapa kerat sangat kereta pemanduan sebelah kiri.
Lebih unik lagi, kereta ini sebenarnya ialah versi 325i yang agak jarang bagi spesifikasi Jepun. Kebanyakannya model 318 dan 320. Model yang dilengkapi dengan kit M-Tech ini juga versi khas yang dipesan dari kilang BMW di Eropah.
Kit M-Tech yang ada pada kereta ini membuatkan bentuknya nampak solid. Spoiler belakang M-Tech boleh cecah beribu-ribu ringgit harganya kalau nak beli asing. Benda lain yang saya perasan tentang modul pemasangan kit kereta ini ialah warna dua tona yang memisahkan badan, panel bawah, skirting dan bampar depan belakang.
Rim yang dipasangkan ialah rim Racing Dynamic berukuran 15 inci. Masa saya kecil, rim ni punyalah champion macam Hartge dan Hamann. Rim itu dibalut dengan tayar Triangle bersaiz 195/55 di segenap sudut. Apa yang saya perhatikan, sekarang trend dah berubah. BMW dah tak segan pakai rim Jepun. Amerika pun dah banyak buat rim tempaan, concave yang cun macam HRE dan ADV1.
Kondisi kereta ini semuanya dalam keadaan yang cukup terjaga. Mungkin sudah lama tidak dipandu. Memang tipikal orang kaya yang banyak hobi dan banyak kereta. Kalau saya, tak ada maknanya nak simpan kereta sentimental value bagai. Asal jadi duit, jual. Ada duit beli lagi lain kali, apa ada hal.
Semua bahagian plastik dalaman kereta berada dalam keadaan yang sempurna. Sunroof boleh keluar masuk, panel meter dan suis semuanya elok. Lebih mengagumkan, tempat duduk dan panel pintu macam tak luak pun. Enjin kereta langsung tidak diubah suai.
Mungkin ada yang tanya kenapa masukkan kereta yang minimum sangat modifikasinya. Kadang-kala, minimalis itu memang segak kalau dikaitkan dengan rarity dan sejarah.