Pandu Uji

BMW E30 – JENTERA LAGENDA DARI JERMAN

Apa kata kita berubah angin sikit pasal cerita kereta terpakai. Selalunya saya akan bercerita pasal kereta tempatan atau buatan Jepun yang tak nafikan, menjadi pilihan ramai kaki kereta di Malaysia.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (8)

Namun, kereta buatan Eropah pun ada yang berpotensi tinggi dijadikan kereta projek atau koleksi. Dalam banyak-banyak kereta Eropah, kita mulakan dengan BMW 3 Series dari keluarga E30.

E30 ialah kereta buatan BMW yang boleh dikatakan bakal menjadi bahan koleksi oleh peminat-peminat kereta klasik tempatan. Ya, kereta ni bukanlah kereta yang terlalu istimewa atau rare.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (2)

Tetapi bagi pengikutnya, kereta BMW ini ialah antara perintis kereta-kereta sedan sports yang menjadi ikutan pembuat kereta dari Jepun. Ia direka kompak, mempunyai pelbagai pilihan enjin dan reka bentuk badan. Apa yang paling penting, ia masih nampak cantik dan bergaya walaupun usianya telah melebihi 30 tahun.

Percaya atau tidak, model ini pertama kali menemui pembeli pada tahun 1982. Produksinya berakhir pada tahun 1993 selepas BMW melancarkan model E36. BMW memberi pelbagai pilihan kepada pembeli dari segi enjin, kotak gear dan bentuk badan. Sekali gus membuatkannya antara model BMW yang paling laris di dunia.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (10)

Pembeli di Malaysia dihidangkan dengan model 2 pintu coupe. Kemudian ditambah dengan model 4 pintu saloon bagi menggantikan model E21 pada tahun 1982. Enjin yang ditawarkan ketika itu ialah enjin 2,000cc. Pada tahun 1985, model 2,500cc M20 enam silinder sebaris diperkenalkan dengan pilihan kotak gear manual atau automatik.

Model ini mendapat facelift pertama pada tahun 1985 dengan pengenalan enjin 2,500cc. Ia menggantikan enjin 2,300cc dengan beberapa perubahan kecil pada ruang dalaman kereta.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (7)

Facelift terbesar yang diterima oleh model ini ialah pada tahun 1987. Kereta ini mendapat rekaan baru pada beberapa bahagian seperti bampar, lampu dan pengenalan enjin empat silinder baharu yang dikenali dengan kod M40 yang menggantikan enjin M10 terdahulu.

Pada tahun 1988, pasaran Malaysia menggugurkan model 320i dan menggantikannya dengan model 318i yang menggunakan enjin M40 terbaru ini.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (9)

Kalau anda berminat untuk membeli kereta ini di pasaran terpakai, bersedialah untuk keluarkan wang tunai yang banyak. Kebelakangan ini, nilai kereta tersebut mula melonjak naik berbanding 5 tahun lepas.

Dahulu, kereta ini boleh dibeli dengan harga yang cukup murah iaitu bawah RM10,000. Sekarang, harganya boleh melepasi angka RM30,000 bergantung kepada kondisi.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (3)

Model coupe lazimnya bernilai lebih tinggi berbanding model saloon 4 pintu. Mencari model yang sempurna keadaannya memang agak sukar memandangkan kereta ini telah berusia. Model yang menggunakan enjin M40 biasanya berada dalam kondisi yang lebih baik berbanding model enjin M20 oleh kerana faktor usia.

Satu perkara yang perlu diingatkan ialah walaupun ini kereta lama, kos penyelenggaraannya agak mahal, kerana ia sebuah BMW. Pendawaian enjin dan karat ialah musuh utama. Jadi periksa dulu bahagian bawah kereta dan kondisi pendawaian enjin sebelum membeli.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (6)

Kereta yang diletak pada harga yang tinggi lazimnya dijaga dengan elok. Sebaik-baiknya, beli kereta secara terus daripada pemilik untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang sejarah penyelenggaraannya.

Walaupun model yang dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia adalah terhad, anda boleh juga berjumpa model-model E30 yang rare seperti model cabriolet, wagon, model pacuan empat roda (ya, BMW ada menjual varian ini di luar negara) dan paling utama, model M3.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (5)

Dari segi harga, semamangnya semuanya dijual pada harga yang tinggi. Terutama model M3 yang dipacu oleh enjin S14 DOHC 16 injap 4 silinder. Perlu tahu bahawa model asli M3 untuk E30 hanya dijual dengan pemanduan sebelah kiri sahaja. Harganya di Malaysia? Melebihi RM100,000!

Untuk kaki modifikasi, model ini didatangkan dengan pilihan bodykit MTec yang menjadi buruan ramai pemilik E30. Lebih unik lagi ialah bodykit Alpina yang asalnya dihasilkan untuk model edisi terhad Alpina di luar negara.

BMW-E30-used-malaysia-mekanika (1)

Untuk modifikasi enjin, orang Malaysia cukup gemar menyalin enjin Jepun seperti enjin Nissan SR20DET, RB20DET dan Toyota 1JZ-GTE kepada cesi BMW ni. Bagaimanapun, enjin asal BMW ni kalau dipelihara dengan baik dan diubahsuai, mampu memberikan prestasi yang memberangsangkan kepada pemandunya.

Saya jangkakan model ni akan menyimpan nilai yang tinggi di masa depan. Kalau anda minat, baik beli sekarang sebelum harganya jadi lebih merepek.

Kredit foto: Bmwblog.com, newspress

Google ads
Back to top button