Motosikal

BMW G 310 GS RASMI DILANCARKAN – RM29,900 SAHAJA!

Saya yakin ramai yang tersenyum gembira apabila mengetahui berita ini. Ya, BMW Motorrad baru sahaja melancarkan model jelajah GS paling kecilnya iaitu BMW G 310 GS.

Ditawarkan pada harga RM29,900 ia pasti memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk memiliki GS pada harga yang lebih mampu milik.

Menurut BMW Motorrad, walaupun BMW G 310 GS merupakan model entry level, namun ia tetap memiliki kualiti DNA GS yang sebenar.

Jentera ini menjanjikan aspek fungsi, kebolehpercayaan dan ketahanan sama seperti model GS bersesaran enjin lebih besar. Jadi, setakat nak mengharung laluan off-road ringan memang tiada masalah.

Apa yang pasti, produk versatil itu dilihat tidak mempunyai pesaing secara langsung dalam segmennya. Anda boleh mengharapkan BMW G 310 GS ini sebagai sebuah jentera untuk tunggangan setiap hari.

BMW G 310 GS menggunakan enjin sama seperti BMW G 310 R yang diperkenalkan ke pasaran tempatan pada Ogos lalu. Enjin silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair itu hadir dengan empat injap dan dua unit overhead camshaft dan sistem pancitan bahan api elektronik.

Kapasiti 313cc itu hasil daripada satu gerek (bore) bersaiz 80 milimeter dan lejang 62.1 milimeter. Salah satu ciri unik pada enjin silinder tunggal pada BMW G 310 GS ini ialah silindernya dicondongkan ke belakang dan kepala silinder diputar 180 darjah. Corong pengambilan berada di hadapan dan outlet pula di belakang.

Dengan output 25kW (34hp) pada 9,500rpm dan tork maksimum 28Nm pada 7,500 rpm enjin BMW G 310 GS ini memang ideal untuk memberi tunggangan yang dinamik, dibantu oleh beratnya yang hanya 169kg.  

Dari segi suspensi, BMW G 310 GS menggunakan kerangka besi tubular dengan bahagian belakang dipasang secara bolt-on untuk menawarkan ketegaran dan kualiti terbaik.

Dengan ketegaran yang seimbang, ia memberi asas kestabilan tunggangan dan maklum balas stereng lebih tepat. Suspensi roda hadapan terdiri dari unit fork terbalik (upside-down) yang teguh.

Sementara roda belakang pula menggunakan lengan ayun aluminium bersama topang gegelung dipasang terus padanya.  

Dapra (fender hadapan yang tinggi), garis badan yang menyerlah serta bahagian belakang yang pendek dan tinggi memberikan BMW G 310 GS ciri klasik model-model GS lain.

Perkadarannya yang kompak bersama tapak roda pendek, rim hadapan bersaiz 19 inci dan pergerakan gegelung suspensi lebih panjang menawarkan postur tunggangan yang menegak.

BMW G 310 GS juga direka untuk pasaran dunia, jadi ia sesuai untuk digunakan dengan pelbagai kualiti bahan api, selain mematuhi semua standard emisi dan keperluan setiap pasaran berbeza.

BMW G 310 GS didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu hitam bukan metalik (Cosmic Black), merah bukan metalik (Racing Red) dan putih mutiara metalik (Pearl White).

Boleh dah ni…

GALERI

Google ads
Back to top button