BRAKE FREE – LAMPU BREK LED UNTUK TOPI KELEDAR
Walaupun hampir semua penunggang motosikal tahu bahawa pentingnya mereka boleh dilihat dengan jelas oleh pengguna jalan raya yang lain, namun masih ramai yang memakai pakaian serba hitam misalnya.
Sekarang ada satu produk baharu yang membolehkan anda dilihat dari jauh. Lebih menarik lagi, ia bukan jaket tetapi topi keledar yang diberi nama Brake Free.
Secara ringkasnya, Brake Free ialah satu peranti pintar yang dipasang pada bahagian belakang topi keledar. Sekali pandang, ia nampak seperti lampu brek ketiga kereta.
Ia menggunakan teknologi LED bagi memberikan cahaya yang cerah apabila penunggang memperlahankan motosikal. Tidak kira sama ada pada waktu siang, berkabus atau malam.
Konsep seperti ini bukanlah baru. Brake Free tidak memerlukannya disambung dengan motosikal atau telefon pintar untuk berfungsi. Alat pengesan padanya sudah cukup untuk mengesan apabila motosikal diperlahankan (engine braking) dan lampu akan menyala secara automatik. Apa yang menariknya, algoritma pada Brake Free memahami pergerakan tersebut, tanpa memerlukan brek ditarik.
“Kami meminjam beberapa teknik pengilangan tercanggih daripada syarikat seperti Audi dan BMW. Kami ingin menawarkan produk keselamatan yang lebih terang dan nipis berbanding model pesaing lain,” jelas Pereka Bentuk Industri Brake Free Technologies, Ian Dunn.
Alat ini direka supaya dapat dipasang pada majoriti topi keledar yang ada di pasaran. Pengguna hanya perlu melekatkannya menggunakan dua magnet neodymium, tanpa menjejaskan strukturnya.
Ia diperbuat daripada material tahan lasak yang kalis air. Hanya seberat 170 gram, Brake Free dikuasakan oleh bateri lithium-ion 2,600mAh yang boleh dicaj semula dan mampu bertahan lebih lapan jam.
Kini, Brake Free dilaporkan sudah memasuki fasa pra-produksi dan bakal dijual menerusi laman web Indiegogo pada harga sekitar AS$89 (RM392) hingga AS$149 (RM656) seunit.
BACA: TEKNOLOGI HELMET ARAI – PATUTLAH HARGA KAU MAHAL NAK ARWAH!