Artikel Pilihan

FAKTA PENJAGAAN NISSAN FAIRLADY 350Z

Nissan Fairlady 350Z merupakan sebuah jentera yang tidak asing lagi di Malaysia. Jentera itu juga membawa legasi keluarga Z dalam jenama Nissan. Seperti keluarga GTR, keluarga Z juga sangat penting dalam meneruskan kesinambungan jentera sukan keluaran Nissan.

Jika hendak diceritakan tentang sejarah pembangunan jentera ini, agak panjang huraiannya. Jai, kita akan ceritakan pada artikel akan datang.

Cuma ringnyakasan tentang jentera ini, produksinya bermula dari tahun 2003 sehingga tahun 2009. Ini bermakna, usia sudah mencecah 18 tahun. Sudah agak lama sebenarnya. Namun, disebabkan reka bentuknya yang mendahului zaman, ia kekal relevan hingga sekarang

Di Malaysia negara tercinta kita, jentera ini agak popular dan mempunyai peminat yang tersendiri. Dengan layout pacuan roda belakang, menjadikan jentera ini antara pilihan peminat sukan drift sama ada yang profesional ataupun amatur.

Dengan harga yang mampu milik sekarang, ia boleh dikatakan menjadi buruan ramai orang. Harga pasaran bermula RM49,000 hingga RM138,000 bergantung kepada tahun dibuat dan kondisi.

Walaupun boleh dikatakan ‘murah’, perkara utama yang perlu ditutikberatkan adalah purata kos penjagaannya. Murah ke? Tanpa membuang masa, kita mulakan dengan servis biasa sahaja dulu, diikuti dengan common wear & tear parts.

SERVIS

Pakej servis minyak enjin

Minyak enjin yang digunakan adalah sebanyak 5 liter. Manakala kelikatan minyak yang disarankan adalah 5W-30, 10W-30 dan 10W-40. Terpulang pada tuan punya badan mahu menggunakan jenama apa, asalkan jangan pakai minyak tiruan. Kos dalam lingkungan RM350 hingga RM600 berserta upah, termasuk penapis minyak. Lain jenama lain harga.

Pakej servis transmisi

350Z dilengkapi sistem transmisi automatik 5 kelajuan RE5R05A daripada Jatco. Sistem transmisi itu turut digunakan oleh Nissan Navara D40. Oleh itu, tiada masalah untuk mendapatkan alat ganti servis.

Jumlah ATF yang digunakan adalah 10 liter. Melibatkan kos sekitar RM450 sehingga RM650 bergantung kepada lokasi. Lain lokasi lain harga ye tuan-tuan.

Ia juga ada datang dengan varian transmisi manual 6-kelajuan FS6R31A. Jumlah minyak gear yang diperlukan adalah 2.9 liter, manakala kelikatan yang disarankan adalah 75W-85 atau 75W-90. Kos dalam lingkungan RM150-RM250 bergantung kepada jenama.

Oh ya! Disebabkan jentera ini pacuan roda belakang, ia mempunyai Rear Differential yang harus diservis secara berkala. Namun harus diingat, ada varian yang mempunyai LSD dan ada yang tidak. Minyak yang digunakan juga berlainan.

Jumlah minyak yang digunakan adalah 1.4 liter dan kelikatan yang disarankan adalah 80W-90. Bagi varian yang mempunyai LSD, disaran menggunakan minyak jenis Hypoid. Kos sekitar RM100-RM200.

COMMON WEAR & TEAR PARTS

Penapis udara

Lagi senang untuk mencari Aftermarket Drop In Air Filter berbanding Original. Jenama aftermarket yang biasa dijual ialah HKS, K&N dan Works. Harga sekitar RM170 sehingga RM400.

Bilah pengelap cermin

Rasanya tak perlu beritahu macam mana nak tahu sekiranya sudah rosak atau tak. Sebab memang sentiasa ada di depan mata. Kalau dah bergegar-gegar atau sudah tak jelas ketika berfungsi, tukar je lah. Yang ni buat sendiri pun boleh. Kosnya pun tak mahal, dalam lingkungan RM15-RM60 bergantung kepada jenama dan kualiti.

Palam pencucuh

350Z dikuasakan oleh enjin VQ35DE & VQ35HR yang merupakan sebuah enjin 6 silinder V6. Maknanya, ia mempunyai 6 silinder. 6 silinder bermaksud 6 biji spark plug diperlukan. Kos bagi spark plug original sekitar RM700 bagi 6 biji beserta upah. Jika bajet kurang, boleh sahaja guna jenama seperti Brisk, NGK atau Denso. Harganya murah sedikit dalam lingkungan RM200-RM400.

Valve/Rocker Cover Gasket

Bukan enjin V6 sahaja ada masalah ni, malah kebanyakan enjin. Kosnya sekitar RM400 berserta upah.

Drive Belt

Enjin VQ35DE/HR menggunakan dua drive belt. Satu untuk memacu aircond compressor, satu lagi digunakan untuk memacu alternator dan pam stereng kuasa.

Drive Belt boleh diperiksa secara visual kondisinya. Sekiranya sudah muncul rekahan, sebaiknya tukar dengan segera. Kosnya sekitar RM280 bagi satu set drive belt, termasuk upah.

Pad brek hadapan

Kebanyakan varian datang dengan brake caliper 1 piston. Ada juga yang datang dengan brake caliper 4 piston daripada Brembo.

Bagi varian 1 piston, kos pad brek adalah sekitar RM300 termasuk upah. Bagi varian 4 piston, kosnya kira-kira RM470 beserta upah. Harga ini berdasarkan jenama OEM. Sekiranya mahu menggunakan pad brek yang mampu menahan suhu tinggi seperti jenama Endless, harganya lebih mahal dan boleh mencecah RM1,000.

Pad brek belakang

Terdapat 2 varian brake caliper seperti roda hadapan. 1 piston dan 2 piston daripada Brembo. Bagi varian 1 piston, kosnya sekitar RM250 beserta upah. Bagi varian 2 piston Brembo pula, kosnya sekitar RM430.

Brake rotor hadapan & belakang

Seperti brake caliper, brake rotor 350Z ada 2 varian oaitu Non Brembo dan Brembo. Bagi unit non-Brembo yang dilengkapi brake caliper Nissan 1 piston, diameter rotor hadapan adalah 295mm dan 292mm bagi rotor belakang. Harga bagi satu set depan dan belakang sekitar RM1,300.

Bagi model yang dilengkapi dengan brake caliper Brembo, diameter rotor hadapan adalah 324mm dan 322mm (belakang). Kosnya sekitar RM2,500.

Tayar

Banyak sangat jenama. Belum cerita kalau anda tukar rim berlainan saiz. Macam mana nak bagi harga ? Boleh check sendiri di kedai tayar yang terdekat.

Set suspensi

Jika anda mahu mengekalkan tahap keselesaan yang optimum, boleh tukar set absorbe Bilstein. Kosnya sekitar RM3,500 termasuk upah pasang.

Namun, berdasarkan pemerhatian saya, ramai yang cenderung untuk menyumbatkan set adjustable terus. Kalau dah masuk bab adjustable, ada yang murah, ada yang mahal. Kena pula untuk 350Z, lagi lah banyak pilihan. Kalau nak yang murah, boleh consider jenama seperti BC Racing dan GAB yang harganya sekitar RM3,000-RM3,500.

Jenama-jenama Jepun dan Eropah seperti Tein, Zeal, Aragosta, KW Suspension dan Ohlins adalah sangat-sangat SYIKIN harganya. Berbelas ribu tuan-tuan.

Aircond Compressor

Komponen ini bukan selalu rosak, tapi bila dia rosak, mahu berpeluh dibuatnya. Kena pula bawa transmisi manual, tersangkut jem di tengah ibu kota ketika waktu puncak, di depan pula ada roadblock, sayu hati rasanya. Kalau komponen ini rosak, kos untuk tukar adalah sekitar RM1,800 bagi komponen original. Kalau recond atau OEM, kosnya dalam lingkungan RM800-RM1,300.

Cukai jalan & insurans

Haa, ini saya letakkan sebagai point terakhir. Disebabkan point ini jugalah ramai orang yang berminat menjadi kurang minat untuk memiliki 350Z.

Dengan sesaran enjin sebesar 3,498cc, cukai jalan 350Z ialah RM4,380 setahun (Semenanjung) dan RM1,699 (Sabah & Sarawak) bagi pemilikan persendirian. Bagi pemilikan syarikat, harganya ialah RM12,760 setahun. Namun saya tak rasa ada yang gila untuk letak nama syarikat.

Kos premium insurans pula bergantung kepada NCD dan nilaian semasa jentera anda. Boleh rujuk ejen-ejen insurans anda.

Jadi tuan-tuan, inilah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan tentang kos penjagaan Nissan Fairlady 350Z.

Harus diingat, ketika baru harganya tidak murah. Ia berada pada kelasnya yang tersendiri. Maka kos penyelenggaraan juga tidak murah. Cuma syukur banyak jenama-jenama aftermarket yang mengeluarkan alat ganti 350Z bagi membolehkan pemilik menjimatkan sedikit wang untuk membelanya.

Pada pendapat saya, ketika berada dalam kondisi yang baik, ia sangat sedap dibawa. Kuasa yang cukup, pengendalian mantap dan keselesaan optimum.

Untuk jentera yang sudah berusia lebih 10 tahun, adalah normal untuk komponen-komponen yang saya tuliskan diatas mengalami kerosakan. Oleh itu, sekiranya anda berhajat untuk memilikinya, bersiap sedialah dari segi wang ringgit dan mental.

Google ads
Back to top button