Buletin

BYD KUASAI PASARAN EV ASEAN – STRATEGI PERKENALKAN JENAMA, UNTUNG RUGI NO.2

Gergasi kenderaan elektrik China, BYD, telah berjaya mengambil lebih daripada satu perempat bahagian EV di pasaran Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, BYD perlu membayar dengan harga yang mahal dalam rangka jenama itu menguasai pasaran rantau ini termasuk mengketepikan Tesla.

“Pada masa ini, tumpuan utama BYD adalah pada percambahan jenama dan bukannya mengoptimumkan margin keuntungan,” kata penganalisis kanan di Counterpoint Research, Soumen Mandal.

Tambahnya lagi, strategi berkenaan adalah sama seperti pengeluar kereta dari Jepun sebelum ini di beberapa negara di Asia Tenggara.

“Melalui cara tersebut, BYD boleh memupuk kepercayaan dan kesetiaan, membuka jalan untuk pengembangan lebih luas.”

Di seluruh rantau ini, jumlah jualan kenderaan penumpang EV meningkat kepada 3.8 peratus pada suku pertama, berbanding 0.3 peratus setahun sebelumnya.

Untuk rekod, BYD Atto 3 ialah kereta EV terlaris di rantau ini, diikuti oleh Neta V dan Tesla Model Y.

‘BUKAN PASARAN YANG MUDAH’

“Sekiranya pembeli tidak pasti atau mempunyai sebarang kebimbangan, bekerjasama dengan pemain terkenal seperti Sime Darby, Bakrie & Brothers, atau Ayala Corp akan memberikan ketenangan fikiran kepada mereka, terutama untuk perkhidmatan selepas jualan,” kata pengarah urusan Urban Science China, Chee-Kiang Lim.

Bagi AC Motors Ayala Corp, kini sedang merancang untuk membuka sedozen pengedar BYD dalam tempoh 12 bulan akan datang di Filipina.

Tumpuannya adalah untuk memperkenalkan BYD terlebih dahulu serta membina kepercayaan orang ramai untuk beralih kepada EV.

“Ia mengenai menghapuskan mitos mengenai harga serta kebimbangan pelanggan dalam tawaran jarak gerak,” jelas Presiden AC Motors Ayala Corp, Antonio Zara.

Di Indonesia pula, BYD boleh bergantung pada Bakrie & Brothers VKTR bagi mendapatkan kontrak kerajaan untuk 52 bas EV di Jakarta.

“Indonesia bukanlah pasaran yang mudah untuk menjalankan perniagaan sendiri,” ujar Ketua Pegawai strateginya, Alex Kim.

Pembeli EV Thai menyumbang 24 peratus daripada jualan luar negara BYD pada suku kedua, menjadikannya pasaran asing terbesar bagi pembuat kereta China, manakala jualan Tesla di rantau ini kurang daripada 1 peratus.

BYD dan rakan kongsinya Sime Darby Motors pula sedang bereksperimen dengan pendekatan baharu untuk menarik pengguna muda ke arah jenama China di Singapura.

Kerjasama itu menyaksikan sebanyak lima bilik pameran ‘BYD by 1826’ dilancarkan, di mana ia berfungsi sebagai restoran dengan nama hidangan sempena model EV BYD.

“Dengan BYD by 1826, kami dapat menjangkau lebih ramai pelanggan yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang BYD,” kata Pengarah urusan runcit dan pengedaran untuk Sime Darby Motors di Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan.

Google ads
Back to top button