Stail

CAPTAIN AMERICA: THE WINTER SOLDIER

Captain America : The Winter Soldier

Genre: Aksi-pengembaraan
Pengarah: Anthony Russo dan John Russo
Pelakon: Chris Evans, Scarlett Johansson, Anthony Mackie, Sebastian Stan, Cobie Smulders, Emily VanCamp, Robert Redford dan Samuel L. Jackson.
Bintang: 4 Captain-America-Mekanika (1)

KLISE. Itu kebimbangan yang sering mengancam minda setiap kali dihidangkan dengan karya layar perak terbaharu adaptasi karakter-karakter adiwira ciptaan kilang buku komik fantasi tersohor global, Marvel Comics.

Bagi yang tidak pernah mengenali Captain America, pasti melihat adiwira ini sebagai individu yang skema. Sementelah kostumnya kelihatan seperti sudah ketinggalan zaman.

la_ca_0102_Captain_America

Klise? Sudah tentu. Plot naskhah layar perak Hollywood tentang adiwira sememangnya tidak pernah berubah. Sama selama-lamanya. Apa lagi, kalau bukan bergegas mahu menyelamatkan dunia. Cuma kali ini, adiwira bertugas ialah Captain America.

Kemunculan sulungnya menerusi naskhah Captain America: The First Avengers (2011) telah meletakkan Captain America (lakonan Chris Evans) sebaris dengan produk-produk Marvel Comics yang muncul terlebih dahulu menjadi francais layar perak – Spider-Man, Superman, X-Men, Iron Man, Thor dan Hulk.

Captain-America-Mekanika (3)

Selepas bergabung menyelamatkan dunia bersama beberapa adiwira lain menerusi filem The Avengers (2012), Captain America kini muncul menerusi naskhah, Captain America: The Winter Soldier.

Judulnya sudah tentu ada kaitan dengan musuh baharu Captain America – lelaki misteri bertopeng dikenali sebagai The Winter Soldier (Sebastian Stan).

Captain-America-Mekanika (2)

Captain America atau Steve Rogers, lelaki yang kembali hidup pada abad ke-21 selepas disejukbekukan sejak era Perang Dunia Kedua itu kini bertugas di sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai S.H.I.E.L.D yang diketuai Kolonel Nick Fury (Samuel L. Jackson).

Tugasan pertamanya adalah menggempur perampas sebuah kapal milik S.H.I.E.L.D bersama rakan setugasnya, Natasha Romanoff atau Black Widow (Scarlett Johansson), yang sebaliknya menjalankan misi rahsia atas arahan Nick Fury, di luar pengetahuan Captain America.

Apabila Nick Fury mati ditembak secara curi oleh The Winter Soldier, Captain America dan Black Widow mendapati diri mereka menjadi buruan pihak S.H.I.E.L.D.

Ini lantas membawa kepada plot klise adiwira – menyelamatkan dunia! Perinciannya, Captain America dan Black Widow perlu menyelamatkan berjuta-juta nyawa manusia yang telah terpilih untuk dibunuh secara serentak menerusi projek Hydra yang didalangi orang dalam S.H.I.E.L.D., Alexander Pierce (Robert Redford).

Captain-America-Mekanika (8)

Konspirasi cabut nyawa itu bermatlamat mahu merampas kebebasan yang dinikmati manusia selama ini sebagai individu. Sesiapa sahaja di seluruh dunia yang telah dikaji data peribadi dan didapati menjadi ancaman kepada projek Hydra, maka nama mereka masuk dalam senarai maut tersebut.

Dibungkus elemen klise bagaimanapun tidak menghalang karya terkini Captain America ini untuk mampu memberikan impak yang cukup impresif.

Captain-America-Mekanika (9)

Paparan babak pertarungan fizikal yang mendominasi paparan aksi naskhah ini direalisasikan cukup cemerlang, ia disokong oleh jalan cerita yang menyakinkan. Karya ini ternyata bukan sekadar filem aksi kosong jiwa seumpama majoriti filem-filem aksi tempatan.

Disulam dengan beberapa kejutan tidak terduga menambahkan kejituan naskhah ini yang direalisasikan menerusi jalan cerita yang tidak begitu kompleks, namun tidak terlalu ringkas.

Captain-America-Mekanika (7)

Captain America juga bernasib baik kali ini kerana disokong oleh daya lakonan penuh impak karakter-karakter lain – terutama kemunculan semula bintang legenda Hollywood, Robert Redford menerusi watak ‘pengganas psikologi’, Alexander Pierce. Tidak ketinggalan, heroin siri TV popular Revenge, Emily VanCamp untuk karakter jiran misteri Captain America.

Apa yang pasti, naskhah ini bukan titik penamat buat Captain America kerana bayangan untuk sekuel seterusnya dipaparkan di akhir putaran filem ini. Selepas Captain America, nantikan kemunculan sekali lagi adiwira Spider-Man menerusi naskhah, The Amazing Spider-Man 2. Sebuah lagi produk kitar semula yang klise dengan misi menyelamatkan dunia? Ya, sudah tentu kerana dunia sememangnya tidak pernah aman.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Check Also
Close
Back to top button