CIMA2024: VOGE RR660S DEBUT DI CHINA – 99.2HP, 64NM
Baru-baru ini kami telah ke China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA) 2024 yang berlangsung di Chongqing, China.
Antara tumpuan utama kami berada di sana adalah bagi menyaksikan beberapa pelancaran global model serba baharu yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan.
Antara yang mencuri perhatian adalah pelancaran Voge RR660S yang bukan sahaja debut sebagai motosikal jenis sportsbike pertama dari jenama itu malah turut menjadi motosikal pertama dipacu enjin empat silinder.
Untuk rekod, Voge merupakan jenama motosikal dibawah payung Loncin yang mempunyai jalinan kerjasama 20 tahun bersama BMW Motorrad. Loncin bertanggungjawab menghasilkan enjin bagi BMW F 900 GS, F 900 R dan F 900 XR termasuk skuter maxi C 400 X dan C 400 GT.
Kemunculan RR660S sudah pun djangka ekoran Voge mendedahkan prototaip RR666S setahun sebelum itu. Bagaimanapun terdapat beberapa perubahan dilaksanakan antaranya tiada lagi ‘single-sided swingarm’.
Atas kertas, RR660S dikuasakan enjin 4-silinder 663cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 99.2hp pada 11,500rpm dan 64Nm pada 10,000rpm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan yang dibantu sistem ‘quickshifter’ secara standard. Angka kuasa itu meletakkan RR660S lebih berkuasa berbanding Honda CBR650R.
Voge mendakwa RS660S mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 235km/j dan mampu merekodkan 0-100km/j sepantas 3.5 saat sahaja.
Menariknya, walaupun RR660S merupakan percubaan sportbike pertama dari Voge namun motosikal ini dilengkapi dengan pelbagai ciri terkini antaranya dua mod menunggang; Sport dan Normal serta mod Beginner yang menghadkan kelajuan kepada 140km/j sahaja.
Selain itu, RR660S ini juga turut dilengkapi dengan ‘winglet’ yang membantu meningkatkan ‘downforce’ sebanyak 2-3kg pada kelajuan 120km/j.
Pakej suspensi dan brek pula merangkumi fork depan USD 43mm dengan jarak gerak 110mm serta brek Brembo M4 4-pot berkembar dengan cakera brek 298mm depan dan 240mm belakang.
Antara ciri lain dinyatakan termasuk:
- berat 215kg
- kapasiti tangki bahan api 15.5L
- ketinggian tempat duduk 780mm (boleh diselaraskan kepada 810mm dan 830mm)
- brek Brembo 4-pot berkembar dengan cakera brek 298mm depan
- ABS dan traction control
- panel meter TFT
- lampu LED penuh
Dalam pada itu, kami difahamkan MFroce Bike Holdings selaku pengedar rasmi jenama Voge di Malaysia akan turut memasarkan RR660S tahun depan. Ini secara tak langsung menjadikan pasaran motosikal sportsbike lebih meriah tidak lama lagi.
GALERI: VOGE RS660S 2025