
COVID-19: MOTOGP QATAR HUJUNG MINGGU INI DIBATALKAN
Berita sedih buat semua peminat MotoGP.
Susulan wabak berterusan coronavirus atau kini dikenali sebagai COVID-19, sesi perlumbaan pembukaan MotoGP di Qatar pada 8 Mac depan terpaksa dibatalkan.
Langkah itu berpunca daripada larangan perjalanan yang dikeluarkan Qatar ke atas pengunjung dari Itali gara-gara penularan COVID-19.
Perlumbaan tersebut dijadual berlangsung di Losail International Circuit, Doha.
Pembatalan turut dipengaruhi oleh 34 kes kematian akibat Covid-19 di Itali dan penularan wabak yang kian meningkat di negara tersebut.
Menurut penganjur juga, acara itu tidak dapat diteruskan kerana Itali memainkan peranan penting dalam perlumbaan tersebut.
Namun begitu, perlumbaan Moto2 dan Moto3 akan dijalankan seperti yang dijadualkan. Ini kerana sebahagian pelumba telah tiba di Qatar untuk sesi ujian sejak minggu lepas lagi.