DEBUT GLOBAL HONDA CBR 250RR – 65 JUTA RUPIAH (RM20,150)
Indonesia, pasaran motosikal Honda terbesar hari ini mencatat sejarah apabila model CBR 250RR dilancarkan secara rasmi pada hari ini oleh PT Astra Honda Motor (AHM). Ini adalah model sub sportbike Honda yang paling ditunggu-tunggu di kalangan peminat seluruh dunia.
Berita kehadiran CBR250RR ini bertiup kencang semenjak pengenalan “Light Weight Super Sports Concept” pada pameran Tokyo Motor Show ke 44 tahun lepas. Sejak dari itu, foto risikan, gambar imaginasi pelukis mula tersebar. Beberapa minggu lalu, PT Astra Honda Motor telah menyiarkan video teaser pertama yang menandakan kemunculannya semakin hampir.
Rekabentuk CBR250RR baru ini memang sangat berbeza dari rangkaian 250cc yang pernah dihasilkan oleh Honda untuk mana-mana pasaran sekalipun. Saya kira, ini adalah refleksi dari model R25 yang merupakan 250CC paling futuristik di pasaran. Pereka model ini telah membina lampu utama bertingkat dengan sarung fairing yang tipis, selari dengan garis badan dan tangki bahanapi.
Ia dikuasakan oleh enjin baru paralel 2 selinder sejukan cecair DOHC 250cc yang dilengkapi sistem Throttle-by-Wire (TBW). Hadir sama ialah 3 pilihan mod pemanduan. Ekzos saluran tepi dibina dengan peredam bunyi berkembar.
Sistem suspensi depan didatangkan dengan set fork terbalik (upside down) sementara bahagian belakang diadaptasi sistem suspensi Honda Pro-Link. Brek depan dengan cakera 310mm dan belakang 240mm
Selepas Indonesia, model ini akan dilancarkan di Jepun pada penghujung tahun ini. Harga jualan CBR250RR ini bermula pada 65 juta Rupiah atau RM20,100 untuk model asas. Terdapat pilihan skema warna, opsyen sistem ABS untuk varian lebih tinggi.