Buletin

HARGA KENDERAAN PEMASANGAN TEMPATAN TIDAK NAIK SEHINGGA JANUARI 2026

Harga kereta pemasangan tempatan tidak akan dinaikkan sehingga awal tahun depan berikutan semakan semula duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), yang sepatutnya dilaksana pada 2020, ditangguh beberapa kali dengan tarikh akhir Januari 2025 kini dibawa ke Januari 2026.

Penganalisis Maybank Investment Bank, Loh Yan Jin, berkata OMV menentukan nilai cukai bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dengan mengambil kira kos pengeluaran dan perbelanjaan berkaitan jualan seperti yuran reka bentuk dan pelesenan.

“Jika dilaksanakan, harga kereta CKD boleh meningkat sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus, menjadikan kenderaan pemasangan tempatan jauh lebih mahal.

“Kami percaya perkara ini boleh menjejaskan jualan jumlah keseluruhan industri (TIV) tempatan, terutamanya jika ia berlaku secara serentak dengan cabaran lain seperti rasionalisasi subsidi petrol dan cukai barangan bernilai tinggi (HVGT), yang berpotensi melemahkan sentimen pengguna dan permintaan pasaran,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, Yan Jin berkata, kenaikan gaji minimum yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2025 dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap kos operasi sektor automotif.

“Kami menjangkakan peningkatan kos kurang daripada satu peratus, manakala Sime Darby (SIME) melihat kesan yang minimum kerana kebanyakan pekerjanya menerima gaji lebih daripada RM1,700 sebulan. Begitu juga, Bermaz Auto dan Tan Chong Motor tidak menjangkakan sebarang impak material daripada pelarasan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, empat lokasi pelaburan utama dalam sektor kenderaan elektrik (EV) telah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Perak, Pahang dan Johor.

“Pemain industri alat ganti tempatan boleh memanfaatkan peralihan ke EV melalui perkongsian teknikal dan peningkatan kemahiran untuk mengembangkan pangkalan pelanggan serta memperoleh akses kepada rantaian bekalan global, sementara pembekal alat ganti tradisional berisiko ketinggalan.

“Kami melihat MCE Holdings sebagai wakil untuk pembekalan komponen EV, manakala portfolio SIME yang pelbagai pula memposisikannya dengan baik dalam menavigasi peralihan ini dan merebut peluang penyatuan industri.

“Penyatuan global dalam kalangan pengeluar peralatan asal (OEM) tradisional dijangka memberi kesan kepada pemain industri automotif tempatan,” katanya.

Yan Jin bagaimanapun berkata, pasaran automotif Malaysia kekal kukuh, didominasi oleh jenama nasional seperti PERODUA dan PROTON yang menyumbang hampir dua pertiga daripada jumlah TIV.

Katanya, keadaan ini memberikan cabaran berganda kepada pengeluar Jepun, yang bersaing bukan sahaja dengan jenama tempatan tetapi juga pemain baharu.

“Kemungkinan penggabungan Honda-Nissan boleh membuka peluang kepada DRB-Hicom dan Oriental Holdings, sambil berpotensi menjadi cabaran kepada Tan Chong Motor,” katanya. – Berita Harian

Google ads
"
"
Back to top button