HONDA BAKAL LANCAR CITY ADVENTURE SCOOTER (+VIDEO)
Samada ini berita baik atau berita sedih, saya pun tak pasti. Honda baru mengeluarkan video paparan model Adventure Scooter mereka. Itu bermakna, motosikal yang dipamerkan pada EICMA tahun lepas akan masuk ke pasaran produksi penuh. Ia realiti!
Skuter dengan konsep “off-road” bunyinya macam mengarut kan? Itulah yang saya fikir bila tengok gambar motosikal Honda ADV 750cc konsep ni tahun lepas. Sekali pandang saja. Saya percaya, seluruh penduduk mukabumi ini tidak akan fikir ia lebih dari sebuah motosikal konsep.
Nah, super-skuter ini akan dilancarkan di Eropah pada 30 Ogos depan. Saya pun tak tahu samada ini gila atau mungkin jurutera Honda sedang bergaduh dengan bahagian pemasaran. Kami semua skeptik. Maksud saya, sangat skeptik. Ada ke nilai pasaran?
Ia bukanlah satu pelaburan besar sebenarnya memandangkan segmen ini telah ada model asas Integra 700cc. Ia adalah super-skuter paling berkuasa sebelum kehadiran Aprilia SR-V. Skuter adalah skuter tetapi Integra lebih unik dengan trasmisi klac berkembar (DCT). Setakat ini, industri mengagumi DCT Honda dan diakui transmisi automatik yang terbaik pada sebuah motosikal.
Ideanya ialah “meninggikan” titik graviti kerangka asal, memposisikan kebuk ekzos, menukar tayar jenis touring off-road, jadilah sebuah skuter dua alam. Saya rasa, kata kunci bagi skuter adventur ini, transmisi DCT. Mungkin Honda yakin mereka temui pasaran baru. Entahla nak.