
HONDA CBR600RR 2013
Diam-diam sahaja, pengedar dan pengilang motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda memperkenalkan terkini mereka baru-baru ini.
Bagi peminat jentera supersport Honda, siri CBR600RR sememangnya menjadi model idaman. Setelah sekian lama dibawa masuk oleh pengimport parallel, kini Boon Siew Honda menawarkan model tersebut secara sah.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada memberitahu siri CBR600RR terbaru merangkumi varian CBR600RR dan CBR600RR C-ABS. Ia mencerminkan komitmen syarikat untuk terus memperkenalkan motosikal berkuasa tinggi ke pasaran Malaysia.
CBR600RR
CBR600RR mencetuskan lonjakan besar dalam kelas 600cc supersport apabila ia dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2003. Dibina berdasarkan input daripada perlumbaan MotoGP ketika itu, RC211V, CBR600RR bukan sahaja mendefinisikan semula parameter prestasi di atas jalan raya dengan aspek fleksibiliti, malah peningkatan kuasa enjin dan pengendalian yang jitu.
Jentera berkenaan memenangi Kejohanan Dunia FIM Supersports selama enam tahun berturut-turut dari tahun 2003 hingga 2008.
Pada tahun 2010, Honda yang menjadi pembekal rasmi enjin untuk kelas Moto2 turut mengharapkan model CBR600RR. Ini sekali gus membuktikan potensi dan keupayaan jentera tersebut.
Penambahbaikan berterusan sejak sedekad lalu menyaksikan evolusi CBR600RR. Ia kini menjadi salah satu jentera supersports paling cemerlang yang pernah dihasilkan dari litar lumba.
Honda memberi tumpuan kepada aspek binaan casis. Tujuannya, menghasilkan sebuah motosikal yang mampu menawarkan aspek kawalan dan pengendalian yang jauh mengatasi para pesaingnya.
CBR600RR menggunakan suspensi jenis upside down fork jenama Showa bersaiz 41mm. Roda aluminium ringan 12 jejari itu pula sama dengan apa yang ada pada model CBR1000RR Fireblade.
Jentera kompak itu menggunakan khidmat enjin bersesaran 599cc DOHC 16 injap empat silinder sebaris dengan sistem penyejukan cecair. Menampilkan nisbah mampatan 12:2:1, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 88kW @ 13,500rpm dan tork 66Nm @ 11,250rpm.
CBR600RR ditawarkan dalam tiga warna iaitu tricolor (merah, putih dan biru), hitam Grafit dan warna Repsol.
CBR600RR C-ABS
Dua faktor utama yang mendorong kepada pembinaan CBR600RR C-ABS baru adalah perlunya prestasi seperti berada di atas trek lumba yang digabungkan dengan keupayaan tunggangan supaya dapat dinikmati di jalan bengkang-bengkok atau di laluan bandar.
Supersport itu juga didakwa sesuai untuk penunggang yang memiliki kemahiran tunggangan berbeza.
Pada Jun 2008, Honda buat pertama kalinya mengumumkan sistem brek Gabungan ABS elektronik atau C-ABS. Tahukah anda bahawa ciri itu merupakan yang pertama untuk motosikal-motosikal produksi di dunia?
Sistem berkenaan kemudian diaplikasikan ke atas varian CBR600RR dan CBR1000RR Fireblade pada 2009. C-ABS berperanan menawarkan kuasa membrek yang berkesan dan optimum kepada penunggang, terutama ketika berdepan dengan situasi cemas.
Sama seperti CBR600RR, varian CBR600RR C-ABS turut hadir dalam tiga warna menarik iaitu Tricolour (merah, putih dan biru), hitam Grafit serta warna Repsol.
Harga jualan (motosikal sahaja) adalah seperti berikut:
CBR600RR CBR600RR C-ABS
Hitam Grafit RM 80,588 RM 94,388
Tricolour RM 81,088 RM 94,888
Repsol RM 82,088 RM 95,388
Harganya, saya boleh katakan agak mahal untuk sebuah jentera 600cc. Kedua-dua CBR600RR dan CBR600RR C-ABS didatangkan dengan jaminan pengilang selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km.
Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi talian bebas tol Boon Siew Honda: 1800-88-3993 (Isnin hingga Jumaat, 9pg – 5ptg, kecuali cuti umum).
[hr] Galeri























