Modifikasi

CIVIC EK COUPE – INI BETUL AMERICAN METAL!

Tidak tahu kenapa, bila tengok kereta ini, saya teringat pada Bruce Springsteen, ikon rock & roll dari Amerika Syarikat (AS).

Honda-civi-EK-coupe-mekanika (3)

Penyanyi ini amat digemari oleh golongan kelas pekerja, terutama yang bekerja di kilang-kilang industri berat di Detroit. Mungkin sebab lagu-lagunya banyak menyentuh kisah dan masalah-masalah golongan ini. Terutama pada lewat era 1970-an dan awal 1980-an, ketika ekonomi di AS boleh dikatakan sakit.

Apa kena-mengena Civic Coupe dengan Bruce Springsteen? Kisah duka pekerja sektor automotif di AS akibat yang diberhentikan kerja akibat kebanjiran kereta import. Kereta dari Jepun yang lebih murah dan berkualiti membuatkan kerajaan AS mengetatkan syarat import kereta-kereta tersebut bagi membantu golongan pekerjanya.

Honda-civi-EK-coupe-mekanika (9)

Pada masa yang sama, AS juga tidak mahu mengeruhkan hubungannya dengan Jepun. Jadi, jadi apa yang negara Uncle Sam itu lakukan adalah mengajak pengeluar kereta dari Jepun membuka kilang mereka di AS, dengan syarat pekerja-pekerjanya mestilah orang AS sahaja.

Salah satu kilang yang dibuka pada masa itu ialah kilang Honda. Produk dari kilang Honda AS bukan saja dipasarkan di pasaran tempatan, malah ada juga yang dieksport semula ke Jepun.

Honda-civi-EK-coupe-mekanika (2)

Model dengan nama Acura ialah produk dari kilang Honda AS yang terkenal. Saya rasa pengguna di Malaysia boleh merasa memandu kereta Honda AS kalau anda ada kereta macam Civic ini. Kalau tengok dari arah hadapan, Civic EK ini nampak macam Civic EK yang lain. Tetapi dari tepi baru nampak kelainannya – dua pintu coupe.

Civic dengan chasis coupe dibina secara ekslusif oleh Honda Amerika. Malah model yang dijual di Jepun turu diimport dari AS. Amat beruntung pemiliknya,  Zamer kerana dapat membeli Civic yang cukup susah dijumpai di Malaysia, kira rare item la juga.

BACA – DAIKOKU FUTO, SYURGA PEMINAT KERETA!

BACA – MODIFIKASI PILIHAN-EG6 VTEC TURBO

Sebelum ini saya pernah nampak kembar kereta ini dengan pemanduan sebelah kiri, mungkin mamat tu bawa balik dari AS. Kalau model pandu sebelah kanan, sah lah model yang diimport dari Jepun.

Enjin asal yang dibekalkan untuk Civic coupe hanyalah enjin D16, enjin 1.6 single cam VTEC yang agak berkuasa. Tapi mana boleh lawan enjin siri B kan? Sebab itulah Zamer dengan pantas menggantikan enjin asal dengan enjin B16A DOHC VTEC. Enjin yang diambil daripada half-cut EG senang sahaja dimuatkan ke dalam ruang enjin Civic ini.

Honda-civi-EK-coupe-mekanika (12)

Ubah suai yang dilakukan tidak terlalu banyak, semuanya barang bolt-on sahaja.  Penapis udara asal enjin diganti dengan penapis Hurricane. Kabel palam pencucuh enjin diganti dengan kabel daripada Nology. Hos-hos vakum enjin diganti dengan hos silikon dari Elevo Racing. Kotak gear Civic ini pula didatangkan dengan sistem LSD standard dengan nisbah akhir gear 4.4. Barang lain semuanya tidak diusik, hatta sistem ekzos kereta pun standard lagi!

Nasib baik kereta ini direndahkan supaya nampak lebih sporty. Untuk tujuan itu, Zamer menggunakan set penyerap hentak boleh laras Buddy Club. Penyerap hentak ini katanya cuma boleh dilaras ketinggian sahaja, tahap kekerasan tidak boleh dilaas.

Sebelum memilih rim apa yang sesuai, Zamer terlebih dahulu menggantikan brek asal  dengan brek Civic EK9 Type-R yang mempunyai knuckle lima lubang berbanding empat. Selepas siap ganti brek, barulah Zamer memasang rim SSR Type-C bersaiz 15 inci dengan tayar Toyo T1R 195/55/15.

Honda-civi-EK-coupe-mekanika (5)

Civic yang sempoi ni kemudiannya diberi muka baharu. Bahagian depan disalin dengan muka penuh Civic EK spec 99 yang cukup mudah untuk dipasang. Lips bampar depan, skirting tepi dengan apron bumper belakang yang pada mulanya saya ingat barang aftermarket, rupa-rupanya barang standard asal Civic ini, termasuklah spoiler belakang itu. Satu lagi barang standard kereta Civic spec AS atau USDM ialah side marker pada bampar belakang, barang original okey!

Honda-civi-EK-coupe-mekanika (13)

Pada bahagian dalam, Civic ini boleh dikatakan sebagai masih standard. Aksesori USDM yang paling ketara ialah gugusan meter yang memberi bacaan kelajuan MPH dan ada sepasang beg udara standard.

Sebuah turbo timer klasik dari Pivot pun dipasang. Saja suka-suka sebab Civic ini mana ada turbo. Nak menyedapkan lagi mata memandang, tombol gear Momo dipasang bagi menggantikan tombol gear asal.  

Honda-civi-EK-coupe-mekanika (6)

Saya rasa, kalau anda peminat tegar trend USDM, kereta ini sememangnya jadi pujaan. Orang Jepun main barang USDM pun carik kereta macam ni tau…

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button