
ENJIN V8 BF350 VTEC DARI HONDA, BUKAN UNTUK KERETA TAPI ENJIN SANGKUT!
Honda Marine memperkenalkan enjin sangkut V8 pertama syarikat yang dikenali sebagai BF350. Kuasa di lautan dijana enjin 5.0 liter V8 60 darjah dengan teknologi VTEC.
Honda memaklumkan BF350 menghasilkan bunyi dan getaran rendah dan mengeluarkan bunyi baharu yang unik dan prestasi hebat.
Reka bentuk BF350 dibuat langsing dan kemas dan ditawarkan dalam warna Aquamarine Silver atau Grand Prix White.
Dari segi operasi, BF350 dihidupkan dalam mod BLAST™ (Boosted Low Speed Torque) yang memberikan pecutan serta-merta dan berkuasa.
Pada kelajuan malar, ECOmo diaktifkan dan sistem pengoptimuman bahan api enjin akan mengurangkan penggunaan minyak pada bila-bila masa yang mungkin.
Ketika kuasa tambahan diperlukan, sistem VTEC™ akan melonjakkan kuasa bagi mendapatkan pecutan tinggi.
Teknologi VTEC™ masyhur dengan adunan kuasa, daya kilas dan pengoptimuman prestasi pada julat rev yang tinggi dan sudah dibuktikan pada enjin sangkut BF250, 225,150 dan 100. Inilah kuasa VTEC!
Honda BF350 juga dilengkapi beberapa ciri pintar bagi memudahkan pengguna seperti Kawalan Pelayaran (Cruise Control), Had Condong (Tilt Limit) dan Trim Support.
Kawalan Pelayaran memberikan pelayaran yang lancar dengan meluaskan julat kelajuan suai (adaptive speed) ketika bergerak dalam gerakan (trolling) konvensional.
Pengguna boleh memilih Kawalan Pelayaran pada paparan dan laraskan kelajuan jajap (cruising speed) pada suis kawalan apabila diperlukan.
Had Condong meletakkan enjin pada sudut lalai (default) agar pengguna tidak perlu melaras kedudukan enjin (trim) secara manual apabila mengedok (docking).
Pengguna hanya perlu tekan butang dan enjin akan melaras kedudukannya secara automatik mengikut tetapan awal yang dibuat bagi mengelakkan calar pada bot atau enjin.
Fungsi Condong Automaik pula meletakkan enjin pada sudut condong penuh.
Trim Support mempunyai tiga praset boleh ubah bagi menyesuaikan sudut enjin untuk memecut di atas air (plane) dan membantu dari segi penggunaan bahan api.
Sensor oksigen (O2) bersepadu melaras penggunaan bahan api berdasarkan paras oksigen pada gas ekzos dengan mengesan dan mengoptimumkan kecekapan pembakaran.
Kedua-dua Trim Support dan sensor 02 direka bagi mengoptimumkan penggunaan bahan api tanpa menjejaskan prestasi enjin.
Satu lagi perkakasan baharu ialah pengawal BF350 yang dibuat dalam bentuk ergonomik untuk digunakan dalam pelbagai keadaan.
Pengawal itu mempunyai lima butang pelbagai fungsi dan indikator kedudukan neutral yang mudah dilihat.
Melalui iST (Intelligent Shift and Throttle), pengguna dapat menikmati tindak balas elektronik enjin yang tepat bagi mengawal pelbagai enjin menggunakan satu tuil untuk operasi ringkas dan lancar.
BACA: HONDA MONKEY DAN SUPER CUB C125 TERUS DITAWAR DI AS
BACA: HONDA N-BOX GENERASI KETIGA DIPERKENAL DI JEPUN, REKAAN SAMA TETAPI TIDAK SERUPA!
BACA: 5 SEBAB HONDA CITY HATCHBACK, LEBIH BAGUS DARIPADA CITY SEDAN
BACA: LEBIH 3.5 JUTA SIRI HONDA N LAKU DI JEPUN, N-BOX SAHAJA 2.3 JUTA UNIT!
BACA: INI KOS SERVIS HONDA WR-V, SERENDAH RM 268 SAHAJA







